
Beliau berkata tindakan kerajaan negeri itu tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar kerajaan persekutuan, memandangkan dasar itu telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covid-19.
“Oleh itu, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis yang lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmin berkata sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.
Katanya, keputusan kerajaan persekutuan adalah sah dari segi undang-undang.
“Akta 342 digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan negeri-negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara.
“Sehubungan dengan ini, kerajaan negeri adalah diminta untuk bekerjasama dalam melaksanakan keputusan kerajaan persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi.
“Sekarang ini, kita perlu terus bersatu serta memperkukuhkan kerjasama demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan kerajaan memulakan semula ekonomi dalam keadaan tergesa-gesa, mengatakan ia tidak benar dan tidak berasas.
“Kerajaan melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan.
“Tindakan yang teliti dan berhati-hati menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahbaikan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19,” katanya.
Sebelum itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin menuduh Azmin gagal berbincang dengan kerajaan negeri berhubung langkah membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula di bawah PKPB yang bermula hari ini.
Katanya, keputusan penting itu perlu dibincangkan bersama semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan mereka sebelum ia boleh dilaksanakan.
Azmin berkata kerajaan melaksanakan PKP selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal dengan berkesan.
Katanya, pelaksanaan PKP melibatkan seluruh negara termasuk di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah.
“Keputusan ini mengambil kira kepentingan dan keutamaan kesihatan serta kesejahteraan rakyat dan memastikan keperluan menjana semula ekonomi.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan kerajaan untuk memulakan semula ekonomi adalah berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan 6 kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu (new normal) dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.”