
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata bilangan buruh asing ini mungkin akan dapat dikawal, membuka lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Meskipun begitu kita menyedari keperluan industri tertentu terhadap buruh asing bagi memenuhi tuntutan ekonomi,” katanya dalam program Bicara Naratif: Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 di TV1 RTM, malam tadi.
Sementara itu, Mustapa berkata pembukaan sektor ekonomi tertentu sepanjang Perintah Kawalan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini dapat dapat mengelakkan ekonomi mengundur 4 tahun ke belakang.
Menurutnya, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil ekonomi akan sama seperti yang dicapai pada 2016 dan pendapatan perkapita turun kepada AS$9,000 berbanding AS$12,000.
“Pandemik yang melanda Malaysia dan dunia ini sangat bersejarah dalam ekonomi moden. Justeru operasi perniagaan ini diharap dapat membendung penurunan ekonomi negara,” katanya.
Bagi tempoh jangka masa panjang, Mustapa berkata, kerajaan sedang melihat semula industri-industri yang berkeupayaan untuk bersaing dan mengkaji insentif baru bagi menggalakkan pelaburan asing dan tempatan.
Jaminan turut diberi terhadap pelaksanaan projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) supaya menjadi “game changer” (pembawa perubahan) yang akan mengubah lanskap ekonomi.
“Rancangan Malaysia Ke-12 serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan diberi perhatian.
“Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat diteruskan, tetapi ia hanya berlaku jika ada pertumbuhan ekonomi bermula sekarang,” katanya.