
Navindran Karunakaran, pengasas dan ketua eksekutif Kumpulan Ocean Flair yang mengendalikan beberapa cawangan di Kuala Lumpur, berkata pelanggan yang hendak makan di dalam restoran akan dimaklumkan butiran itu ialah peraturan ditetapkan kerajaan.
“Kita perlu menetapkan syarat itu dan pelanggan harus mematuhinya. Tiada cara lain, mereka perlu patuhinya,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi pemilik restoran, Abdul Malik Abdullah, juga tiada masalah dengan syarat terbaru itu.
Bagaimanapun, pemilik kafe, Desonny Tuzan berkata, beliau tidak akan membuka kafenya kerana bimbang dengan kesihatan pekerja dan pelanggannya, walaupun Putrajaya membenarkan pelanggan makan di dalam premis.
Ia antara kelonggaran diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu yang akan menyaksikan hampir semua sektor ekonomi boleh beroperasi semula mulai esok.
Bagaimanapun, kedai makan perlu mencatatkan nama penuh pelanggan untuk membolehkan pengesanan kontak jika ada yang disahkan positif Covid-19.
Navindran berkata, beberapa rakan atas talian kumpulan itu sudah mempunyai aplikasi kesetiaan pelanggan dan tempahan yang mempunyai butiran mereka: ini hanya akan digunakan bagi promosi khas. Butiran pelanggan lain akan disimpan secara berasingan.
Malik, pengasas D’Tandoor Food Industries Sdn Bhd, merasakan kebanyakan pelanggan akan mematuhi keperluan itu kerana rakyat tahu ia demi “kebaikan sendiri”.
Restoran tidak akan mencatatkan alamat pelanggan atau nombor MyKad.
“Oleh itu, pelanggan mungkin mematuhinya. Ia turut membuatkan mereka berasa selamat kerana pihak berkuasa boleh menjalani ujian saringan ke atas mereka jika ada pelanggan yang disahkan positif Covid-19.”
Katanya, mencatatkan nama dan nombor telefon pelanggan akan menjadi sebahagian “normal baru”.
Tetapi, Malik berkata, timbul kekeliruan mengenai penjarakan sosial untuk pelanggan yang makan di dalam restoran.
Desonny pula “sangat berhati-hati” terhadap pembukaan semula Kafe Charlie, khasnya selepas membaca laporan berita mengenai penghawa dingin di sebuah restoran di China menyebarkan virus koronavirus.
Disebabkan ada individu yang dijangkiti Covid-19 tanpa sebarang simptom, beliau tidak mahu mengambil risiko itu.
“Saya mahu melindungi pasukan saya, jadi saya akan pantau 2 hingga 4 minggu sebelum membenarkan pelanggan makan di dalam premis. Saya perlu berhati-hati dalam perkara ini.”