
Keputusan itu berlainan daripada pengumuman Putrajaya pada Jumaat lalu susulan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP).
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Razali Ab Malik dalam kenyataan di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, restoran, kedai makan dan trak makanan hanya dibenar menawarkan perkhidmatan bawa pulang, penghantaran serta pandu lalu.
Katanya, kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan PKP fasa ke-4 seperti diumumkan perdana menteri mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terlibat dalam PKPB.
“Namun begitu, memandangkan kes baru Covid-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan bagi memastikan kes baru dapat dikawal, kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan hanya sektor ekonomi yang dibenarkan saja boleh beroperasi ketika PKPB.
“Bagi kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 yang baru dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi yang dibenarkan di dalam PKPB adalah tidak dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan.”
Razali berkata, syarikat atau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat dan prosedur operasi standard ditetapkan.
Katanya, pihak berkuasa tidak akan membenarkan premis melanggar SOP itu meneruskan operasi.
“Langkah ini diambil kerana kerajaan negeri percaya perjuangan kita belum berakhir sepenuhnya untuk melenyapkan Covid-19 berdasarkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.
“Kerajaan negeri akan mengkaji tatacara ini dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini berkaitan penularan Covid-19.”