KKM: Malaysia mungkin jadi lokasi ujian vaksin Covid-19

KKM: Malaysia mungkin jadi lokasi ujian vaksin Covid-19

Vaksin yang dibangunkan di China itu kini berada di fasa ke-2 dan dijangka siap Novermber atau Disember ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM telah berbincang dengan China berhubung pembangunan vaksin Covid-19.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, negara ini mungkin menjadi lokasi ujian vaksin Covid-19 fasa ke-3 yang dihasilkan di negara China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun vaksin yang dibuat di China itu kini berada di fasa ke-2 dan belum siap lagi.

“Memang betul negara China telah berbincang dengan KKM mengenai vaksin.

“Setakat ini dalam kajian fasa ke-2, tetapi akan dalam bulan November atau Disember,” katanya pada sidang media hariannya mengenai Covid-19 di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, buat masa ini KKM mahu melihat keberkesanan vaksin fasa ke-2 itu dalam ujian ke atas manusia terlebih dahulu.

“Kita telah berbincang dengan mereka (China) melalui 2 sidang video. Mereka setuju kalau negara (Malaysia) jadi tempat untuk kajian fasa ke-3.

“Kita tunggu keputusan laporan ujian fasa ke-2 sebelum kita boleh teruskan ke fasa 3,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan seorang penyelidik di Beijing sedang menjalankan eksperimen ke atas vaksin dihasilkannya, iaitu “Coronavac” bagi merawat wabak Covid-19 yang menyerang hampir seluruh dunia.

Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat Sinovac Biotech itu adalah satu daripada ujian klinikal yang diluluskan di China dan dilaporkan berjalan dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.