
PETALING JAYA: Masih ada 8 daerah di bawah zon merah Covid-19, manakala 91 daerah di seluruh negara berada dalam senarai zon hijau kerana tiada kes aktif.
Infografik Kementerian Kesihatan hari ini menunjukkan 58 daerah masih terletak dalam senarai zon kuning.
Zon kuning ialah daerah yang merekodkan kurang 40 kes aktif, manakala zon merah mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.
Lapan daerah yang diklasifikasikan zon merah:
- Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur)
- Hulu Langat (Selangor)
- Johor Bahru dan Kluang (Johor)
- Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak)
Semalam, Kedah, Perak, Kelantan, dan Perlis diisytiharkan negeri zon hijau kerana tiada kes aktif Covid-19 di semua daerah.
Sebanyak 103 kematian dan 6,071 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan 4,210 pesakit sudah pulih, manakala 1,758 masih menerima rawatan.