
Padah tidak mengenal siapa jika mengabaikan keselamatan yang ditetapkan.
Itulah yang berlaku terhadap seorang wanita apabila maut selepas terjatuh dari sebuah tebing pada ketinggian 35m, ketika mengambil gambar bagi meraikan berakhirnya perintah berkurung di Turki.
Kejadian yang menimpa Olesya Suspitsyna dari Kazakhstan itu disaksikan oleh seorang rakan perempuannya yang mahu mengambil gambarnya.
Insiden yang berlaku di Antalya di barat daya Turki, Ahad lalu susulan keputusan kerajaan menarik balik perintah berkurung di bandar berkenaan, berikutan penularan wabak Covid-19.
Mangsa berusia 31 tahun itu bersiar-siar di kawasan pelancongan yang terkenal dengan keindahan pemandangan air terjun.
Olesya kemudian memutuskan untuk mengambil gambar “berani mati” di tepi tebing, dengan latar belakang air terjun.
Dia memanjat pagar keselamatan dan mula beraksi untuk gambarnya dirakamkan.
Menurut laporan Mirror.uk, Olesya bagaimanapun tergelincir di atas rumput, sebelum hilang keseimbangan dan terjatuh dari tebing setinggi 35m hingga maut.
Panik dengan apa yang berlaku sekelip mata, rakannya terus menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian yang berlaku.
Mayat Olesya dijumpai dan ditarik keluar dari kawasan air terjun dengan bantuan pasukan penyelamat.
Polis mengklasifikasi kematiannya sebagai kemalangan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]