Perkeso perjelas mesej tamat program bantuan kepada pekerja

Perkeso perjelas mesej tamat program bantuan kepada pekerja

Sehingga 1 Mei 2020, Perkeso menerima 27,222 permohonan daripada majikan melibatkan 230,652 pekerja.

Perkeso berkata Program Pengekalan Pekerjaan masih berjalan dan permohonan yang diluluskan setakat 27 April akan terus mendapat bantuan tersebut.
PETALING JAYA:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, mesej memaklumkan penamatan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) adalah “tidak sah” dan tidak menerangkan kemajuan sebenar inisiatif bantuan kerajaan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji itu.

Dalam satu kenyataan, Perkeso menjawab kritikan di media sosial berhubung dakwaan penamatan ERP selepas mesej itu dikeluarkan di Twitter.

Putrajaya memperuntukkan RM120 juta bagi menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji. Bantuan itu diberikan melalui majikan masing-masing.

“Sehingga 1 Mei 2020, Perkeso menerima 27,222 permohonan daripada majikan melibatkan 230,652 pekerja. Peruntukan RM120 juta itu mewakili bantuan kewangan untuk sebulan kepada 200,000 pekerja di bawah program ini.

“Pada masa ini, Perkeso sedang memproses permohonan dan mengagihkan peruntukan kepada permohonan yang diluluskan berdasarkan kelayakan yang ditetapkan.”

Perkeso berkata, ERP masih berjalan dan permohonan yang diluluskan setakat 27 April akan terus mendapat bantuan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.