PKP akan tamat jika Malaysia mampu penuhi 6 kriteria ini!

PKP akan tamat jika Malaysia mampu penuhi 6 kriteria ini!

Amalkanlah langkah keselamatan, kebersihan dan kesihatan yang tinggi yang penting, sentiasa kekal duduk di rumah. Kita pasti menang!

Anggota Tentera memasang kawad berduri berhampiran rumah kedai berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur untuk pantau pergerakan pekerja warga asing selepas dikenakan PKPD sehingga 3 Mei bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kini, PKP sudah berada pada fasa ke-4 semenjak diperkenalkan pada 18 Mac 2020.

Ada kemungkinan ia akan dipanjangkan lagi ke fasa kelima, keenam dan seterusnya bergantung kepada situasi semasa.

Namun, ada juga yang percaya ia akan tamat apabila Syawal tiba pada akhir bulan Mei.

Persoalannya, bila PKP akan tamat?

Ini persoalan utama yang sedang berlegar dan bermain di fikiran penduduk Malaysia.

Meskipun ramai rakyat dilihat sudah boleh menerima hakikat, masih ada yang mahu melanggar dan mencabar arahan daripada kerajaan ini.

Disebabkan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengetatkan lagi pengawasan dengan menambah sekatan jalan raya dan merekrut lebih ramai anggota polis dan tentera.

Ini dibuat sejajar dengan usaha mengawal pergerakan rakyat dan meminta mereka duduk di rumah.

Sebaiknya, tunggu sehingga perintah separa “lockdown” ini ditamatkan untuk kita memulakan kembali kehidupan seperti sediakala. Persoalannya, bila PKP akan tamat?

Sebenarnya, tidak ada tarikh tertentu yang boleh dijanjikan oleh mana-mana pihak tentang perkara ini.

Segalanya bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dalam negara berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

6 kriteria perlu dipenuhi untuk PKP tamat!

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 6 kriteria yang perlu dipenuhi negara untuk menamatkan PKP berpandukan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 6 kriteria ini perlu diambil kira untuk menentukan sama ada PKP akan disambung atau ditamatkan kelak.

Namun, beliau menjelaskan pihaknya hanya memberi pandangan, sumber diperlukan dan data kepada Perdana Menteri sebelum sebarang keputusan akhir dibuat.

Berikut 6 kriteria tersebut:

  1. Kemampuan mengawal sempadan daripada kes import.
  2. Kemampuan mengawal dan merawat pesakit positif daripada menjangkiti orang lain.
  3. Kemampuan sistem dan fasiliti kesihatan negara (makmal dan wad).
  4. Kemampuan negara dalam usaha melindungi golongan berisiko tinggi.
  5. Norma baharu (new normal) menjadi amalan hidup iaitu tiada lagi perhimpunan awam, penjarakan sosial dan kerap basuh tangan.
  6. Kemampuan negara dalam usaha melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

Sekiranya, Malaysia berjaya memenuhi keenam-enam kriteria di atas dalam usaha melawan Covid-19, kerajaan mungkin akan menamatkan PKP dalam masa terdekat.

Kita pasti menang melawan Covid-19!

Tiada apa yang boleh kita lakukan sebagai rakyat biasa ketika ini melainkan duduk di rumah.

Ia langkah yang paling efektif dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19 ini.

Bersempena kehadiran bulan mulia ini bersamalah kita berdoa agar pandemik ini berjaya ditamatkan dalam sedikit masa sahaja lagi.

Semoga Ramadan dan Syawal pada tahun ini dapat kita raikan dengan lebih bermakna.

Amalkanlah langkah keselamatan, kebersihan dan kesihatan yang tinggi. Yang penting, sentiasa kekal duduk di rumah. Kita pasti menang! #stayathome

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.