Noor Hisham: Guna herba untuk Covid-19 hanya cadangan pakar China

Noor Hisham: Guna herba untuk Covid-19 hanya cadangan pakar China

Noor Hisham berkata, cadangan penggunaan herba bukan kaedah utama rawatan Covid-19.

Pada 18 April, sepasukan pakar perubatan China tiba di Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka dalam memerangi pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penggunaan herba untuk mempercepatkan proses penyembuhan pesakit Covid-19 hanyalah cadangan pakar dari China, bukan rawatan utama, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, setakat ini penyakit Covid-19 belum mempunyai rawatan khusus.

“Mungkin bukan sebagai rawatan, tetapi ‘complementary’ untuk penyembuhan yang lebih baik dan sebagainya.

“Memang Covid-19 tiada rawatan lagi, tetapi apa yang pakar dari China sebut itu hanya cadangkannya sebagai cara. Contohnya akupuntur dan herba yang mungkin boleh mempercepatkan kesembuhan dalam rawatan,” katanya pada sidang media harian beliau di Putrajaya, hari ini.

IMR akan asingkan mutasi virus Covid-19

Mengulas strain mutasi virus, Noor Hisham berkata, pihaknya meminta Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menjalankan lebih banyak pengasingan virus mutasi Covid-19.

Katanya, bagi setiap kajian yang dilakukan, kementerian akan menyalurkan maklumat itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk didokumentasikan.

“Kita sekarang pada peringkat awal kajian untuk kenal pasti virus ini. Dengan penyelidikan dan kajian, ia akan membantu kita untuk mengenali virus yang baru ini.

“Identiti virus tersebut penting untuk kita adakan kerjasama dengan negara-negara lain di bawah payung WHO,” katanya.

Sebelum ini KKM menerusi kajiannya mendapati terdapat 1 daripada 30 strain mutasi virus tersebut boleh bertindak “lebih ganas” sehingga menjangkiti 120 pesakit lain.

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, perbincangan akhir berhubung rawatan dan rawatan pandemik Covid-19 antara KKM dan pasukan pakar perubatan China akan berlangsung esok.

Katanya, perbincangan tersebut dijangka berkisar mengenai kesihatan awam, termasuk makmal dan penggunaan ubat- ubatan dengan lebih terperinci.

“Sekurang- kurangnya mereka beri keyakinan bahawa tindakan kita berkesan dan kita cuba elakkan kelemahan yang mereka lakukan ketika memerangi wabak itu di China,” katanya.

Pada 18 April lalu, sepasukan pakar perubatan China tiba di Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka dalam memerangi pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.