Cuba bunuh diri, tukang pasang mozek dipenjara 7 hari

Cuba bunuh diri, tukang pasang mozek dipenjara 7 hari

Tertuduh berdepan dengan masalah kewangan dan didakwa cuba membunuh diri di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, pada 26 April lalu.

Mahkamah menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes lelaki cuba bunuh diri sementara menunggu laporan patologi. (Gambar Reuters)
MELAKA:
Seorang tukang pasang mozek dijatuhi hukuman penjara 7 hari oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh diri akibat berdepan dengan masalah kewangan, Ahad lalu.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Sim Chuan, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan memerintahkan dia menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

“Kalau ada masalah, hubungi talian yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau ahli psikologi untuk mendapatkan khidmat nasihat. Tindakan cuba membunuh diri bukan jalan terbaik,” kata Teoh.

Lelaki itu didakwa cuba membunuh diri di dalam bilik tidur di Blok B, Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, pada jam 8 malam, 26 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh bertengkar dengan abang iparnya di bilik tidur kerana tertuduh kerap meminjam wang daripada ibunya. Apabila abang iparnya keluar dari bilik, tertuduh menutup dan mengunci pintu bilik dari dalam.

Tertuduh membuka jerejak tingkap dan kemudian menulis dengan tulisan Cina di kertas yang bermaksud, “saya rasa bersalah pada ibu bapa” dan menyelitkan kertas itu di bawah celah pintu sebelum bertindak mengeluarkan sebelah kakinya di tingkap.

Setengah jam kemudian tertuduh membuka pintu bilik dan mengacu gunting di lehernya dengan ugutan mahu membunuh diri, namun dia berjaya ditenteramkan oleh ibunya dan selepas itu, polis membawa tertuduh ke Balai Polis Bandar Hilir untuk tindakan lanjut.

Tan juga didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk diri sendiri di Pejabat Narkotik Melaka Tengah, pada 12.01 tengah malam, 27 April lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun serta pengawasan selama 2 tahun.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala Tan diwakili peguam Yap Wei Ping.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.