Ahmad Badri pengerusi baru KWSP, Khaled Nordin di Boustead

Ahmad Badri pengerusi baru KWSP, Khaled Nordin di Boustead

Ahmad Badri menggantikan Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat sebagai pengerusi KWSP selama 13 tahun.

Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan dan sains aktuari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi baru bermula 1 Mei 2020.

Beliau menggantikan Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat sebagai pengerusi KWSP selama 13 tahun 3 bulan sejak tahun 2007.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, Ahmad Badri pernah memegang jawatan ketua setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan berkhidmat di sana selama hampir 30 tahun.

Beliau merupakan ahli Panel Pelaburan KWSP sejak tahun 2014, dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari.

Ahmad Badri juga menganggotai beberapa lembaga pengarah termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad.

Ketua pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, KWSP amat bertuah menerima seorang pengerusi yang disegani dan berpengalaman dan amat layak untuk memberikan panduan dalam waktu mencabar ini.

“Kami pasti dengan kepimpinan beliau KWSP akan mencapai tahap kecemerlangan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik kepada ahli kami,” katanya.

Alizakri berkata, sebagai pengerusi KWSP terdahulu, Samsudin menjadi pemacu utama dalam memastikan serta menekankan tadbir urus yang baik, profesionalisme dan kecemerlangan dalam memenuhi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Beliau berkata Samsudin meninggalkan legasi pasukan kerja profesional yang mengurus salah satu dana simpanan persaraan terbesar dan paling dihormati di dunia.

Alizakri juga berkata dengan kebijaksanaan dan bimbingan Shamsuddin yang tegas telah menjadikan KWSP salah satu organisasi yang paling dihormati di rantau ini.

“Saya hanya dpat memberikan ucapan penghargaan yang amat mendalam bagi pihak KWSP untuk masa hadapan beliau,” katanya.

KWSP juga mengumumkan persaraan Azman Shah Haron, yang menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil majikan sejak tahun 2007.

KWSP berkata Azman merupakan presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan adalah ahli Lembaga Pengarah pelbagai syarikat, termasuk Alangka-Suka Hotels dan Resorts Bhd, serta anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd.

Naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu Boustead Holdings Bhd (Boustead) melantik naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif syarikat tersebut berkuat kuasa 1 Mei 2020.

Boustead dalam satu kenyataan hari ini berkata, Khaled sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari 2013 hingga 2018 dan di bawah kepimpinannya, negeri itu menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Khalid juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Johor Corporation Bhd dan kumpulan itu berjaya melaksanakan beberapa langkah penyusunan semula dan pemulihan sepanjang tempoh beliau bertugas.

Sebelum memegang jawatannya sebagai menteri besar, Khaled pernah berkhidmat di pelbagai kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi (2008 sehingga 2013), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004 sehingga 2008) dan sebagai timbalan menteri Kerja Raya (1990 hingga 2004).

Mohamed Khaled, yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, adalah penama pemegang saham terbesar Boustead, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengarah urusan Boustead, Amrin Awaluddin berkata, pengalaman luas Mohamed Khaled pasti akan mengukuhkan lembaga pengarahnya, menerajui Boustead untuk meningkatkan cara menjalankan perniagaan serta prospek dalam jangka masa panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.