Kerajaan digesa umum pelan strategik untuk rakyat suai diri dengan ‘normal baru’

Kerajaan digesa umum pelan strategik untuk rakyat suai diri dengan ‘normal baru’

Mohamad Hasan berkata tindakan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti maksimum adalah langkah pemulihan ke arah yang tepat.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Putrajaya mengumumkan pelan strategik dan rancangan pelaksanaan holistik kepada rakyat untuk mereka menyesuaikan diri dan beralih ke fasa yang disebutkan sebagai “normal baru” sehingga vaksin Covid-19 dijumpai.

“Bagi saya, ini adalah ‘bukan normal baru’. Kita bukan sahaja harus menyesuaikan diri dengan kelainan ini tetapi juga cepat mengakhirinya.

“Kita mesti kembali ke cara hidup semula jadi dan normal kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata beliau tidak boleh membayangkan situasi di mana orang ramai tidak dapat menunaikan solat berjemaah adalah sesuatu perkara baru.

Beliau berkata umat Islam tidak dapat menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan adalah “konsep yang asing” dan mereka sudah pasti akan meraikan Ramadan sebagai satu bentuk perayaan.

Malah, katanya, rakyat tidak mampu mengucapkan selamat tinggal dan memberi penghormatan terakhir kepada orang yang disayangi.

Mohamad berkata tindakan kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti maksimum adalah langkah pemulihan ke arah yang tepat.

Namun, katanya, buat masa sekarang kerajaan perlu mengumumkan strategi holistik dan tahap pelaksanaannya untuk mendidik dan membantu orang memahami bagaimana mereka harus menyesuaikan diri dengan normal baru tersebut.

“Sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan atau tidak pada Mei mendatang, rakyat Malaysia mesti berpendidikan tinggi dan memahami pelbagai aspek dalam rancangan pemulihan.

“Sains mempunyai jawapan untuk semua pertanyaan pemulihan strategik kita. Penemuan saintifik terkini dan paling maju mesti menjadi asas jawapan kita, bukan politik atau faktor lain.”

Beliau menegaskan dengan terus tinggal di dalam rumah tidak boleh menjadi suatu amalan baru dengan menyifatkannnya sebagai “counter productive”.

“Perniagaan, pekerjaan, dan keusahawanan harus diselamatkan. Sekolah dan pendidikan tidak boleh ditangguhkan lagi. Kehidupan beragama, kegiatan sosial dan kelestarian masyarakat harus kembali kepada adat dan budaya kita,” katanya.

Mohamad berkata satu-satunya “misi” buat masa ini adalah menewaskan Covid-19 dan mengakhiri fasa “tidak normal” dengan strategi pemulihan yang seimbang, padat dan hebat.

“Hanya melalui kejayaan misi ini kita dapat kembali menjalani kehidupan kita dengan normal mengikuti norma, budaya, dan tradisi kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.