Petronas nafi tutup pelantar minyak di perairan Malaysia

Petronas nafi tutup pelantar minyak di perairan Malaysia

Ia susulan dakwaan 14 pelantar minyaknya tidak aktif dan 14 projek dihentikan.

Petronas berkata, 18 pelantar minyaknya masih beroperasi di perairan Malaysia. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan dakwaan ia menutup pelantarnya di luar pesisir Malaysia, selain daripada pelantar yang sudah menamatkan operasi penggerudian atau ditangguhkan sementara susulan penularan Covid-19.

Katanya, sebanyak 18 pelantar minyaknya masih beroperasi di perairan Malaysia.

Syarikat minyak nasional itu mengulas laporan berita pada Jumaat yang mendakwa 14 pelantar minyaknya tidak aktif dan 14 projek dihentikan.

“Petronas juga ingin menjelaskan terdapat penangguhan sementara projek di beberapa tapak kerja berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Pada masa ini, kebanyakan projek ini sama ada sudah menyambung semula aktiviti kerja mereka atau akan disambung semula tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Petronas berkata, pihaknya sedang berusaha mengurangkan impak pandemik itu terhadap program perbelanjaan modal (Capex) domestik yang dirancang.

“Bagaimanapun, kami menjangka terdapat beberapa projek akan mengalami kelewatan berikutan sekatan pergerakan yang berpanjangan di peringkat global dan PKP di Malaysia, serta gangguan yang dijangka terhadap rantaian bekalan global.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.