
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan data terdahulu, secara amnya sebanyak 30% daripada kontak rapat kes Covid-19 didapati positif.
“Dari situ, kita harap dapat kenal pasti mana-mana kes yang positif,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Awal hari ini, FMT melaporkan pasar tersebut ditutup sejak 7 pagi tadi untuk kerja nyahjangkit.
Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin memberitahu FMT beliau terima laporan awal daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya memaklumkan terdapat 1 kes disyaki positif, dan individu berkenaan akan menjalani saringan Covid-19.
Katanya, keluarga dan pihak yang mempunyai kontak dengan mangsa sedang dihubungi dan disiasat.
Ketika ditanya sama ada pelanggan tetap di pasar itu perlu menjalani saringan Covid-19 di klinik dan hospital, Hisham berkata mereka boleh berbuat demikian sekiranya mempunyai kontak rapat dengan kes tersebut.
“Apa yang lebih penting kita ingin nasihatkan mereka elakkan perhimpunan awam, jaga penjarakkan sosial dan pastikan mereka terus menjaga kebersihan diri,” katanya.