
Penghuni di Blok B kondominium itu yang enggan dikenali berkata, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mula menjalankan saringan di Blok A pada jam 9.40 malam tadi selepas memaklumkannya kepada penghuni 40 minit sebelum itu.
Penghuni diarah bergerak ke kawasan terbuka di tingkat bawah, yang menurutnya bukan kebiasaan yang diamalkan kerana mereka sebelum ini disaring mengikut tingkat demi tingkat.
“Mereka tak ikut prosedur. Mereka tak amalkan jarak sosial. Walaupun setelah aduan dibuat, mereka tidak mengambilnya serius.
“Lif sesak. Ia sepatutnya mengangkut 4 orang pada satu-satu masa, tetapi nampak seperti 10 orang menggunakannya pada masa yang sama,” katanya kepada FMT, selain menambah bahawa Blok B akan melalui proses saringan itu hari ini.
Katanya saringan yang dibuat lewat malam tadi menyukarkan warga emas dan keluarga dengan anak kecil, yang bimbang berhubung himpunan besar yang melibatkan antara 200 hingga 300 orang di kawasan terbuka itu.
Beliau berkata, petugas kesihatan terbabit meninggalkan kondominium pada jam 12.40 tengah malam dengan beberapa penghuni enggan disaring kerana bimbang dijangkiti susulan jumlah orang yang ramai.
Ini adalah kali ke-3 penghuni disaring, tetapi katanya, prosedurnya teruk pada kali ini.
“(Saringan) pertama tidak seteruk sekarang. Selepas beberapa aduan dibuat kepada Kementerian Kesihatan (KKM), saringan kali ke-2 lebih tersusun. Tetapi kali ini paling teruk.
“Sangat teruk. Mereka mendedahkan penghuni kepada jangkitan lebih luas,” katanya.
FMT telah menghubungi KKM untuk komen.
Pihak berkuasa menguatkuasakan sekatan keluar-masuk ke atas Menara City One berdekatan Masjid India di Kuala Lumpur selepas 17 kes Covid-19 dilaporkan di kondominium itu.
Ia merupakan kawasan ke-3 dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas Simpang Remnggam di Johor dan Sungai Lui di Selangor.
PKPD itu membabitkan 3,200 penghuni di 502 unit kediaman selain premis perniagaan yang terdapat di bangunan tersebut.
Setakat ini 51 kes positif Covid-19 direkodkan di kondominium berkenaan.