
Jelas sekali, walaupun dengan renungan yang sedikit, bahawa pengalaman melalui pandemik Covid-19 ini, pasti akan memberi kita banyak pengajaran.
Ramai di antara kita telah menyedari betapa pentingnya disiplin diri, di inspirasikan oleh pesanan serta petua untuk membina kembali hubungan dengan orang di sekeliling kita, cara memperoleh kemahiran baru, bersenam dan sebagainya. Kita pasti pernah mendengar semuanya, berkali kali .
Bagi kebanyakan orang, pengalaman ini akan menimbulkan tingkah laku, pemikiran dan sifat manusia yang terbaik – dari sikap kesukarelawanan dan pengawalan diri ke sifat toleransi yang tinggi.
Malah paling penting, ia menimbulkan perasaan kesyukuran mendalam, kerana kini masih bernyawa dan dalam keadaan sihat-walafiat.
Kesedaran utama dan pelajaran sebenar yang dapat kita perolehi ialah hakikat bahawa kehidupan nyaman dapat dinikmati, dengan hanya keperluan yang sedikit dan segala kemewahan dunia, tidak memberi makna kepada kehidupan yang tidak kekal ini.
Sebaliknya, bagi sebahagian daripada kita yang memiliki kecenderungan yang berbeza , pengalaman ini akan menimbulkan kelakuan manusia yang terburuk – dari ketamakan penyimpanan keperluan berlebihan, walaupun mengetahui perbuatan ini mungkin akan mengakibatkan kekangan buat orang lain, perangai suka sengaja menyebarkan berita palsu kepada orang yang mudah tertipu dan berasa seronok menyaksikan akibat tindakan mereka itu berlaku.
Untuk mengatasi kebosanan mereka, ada juga yang asyik menggunakan telefon bimbit sepanjang hari, serta berkemungkinan menghantar mesej yang disulami dengan profil perkauman dan pandangan berat sebelah mengenai isu-isu agama.
Meraih keuntungan melampau dalam penjualan barang berkaitan kesihatan, walaupun tidak meluas, tetap di pandang sebagai perbuatan menipu dan berbahaya, terutamanya bagi produk dan peralatan kesihatan mewah.
Penipu internet pula bertindak licik dengan merangka tipu muslihat untuk melenyapkan simpanan para pesara.
Pada masa yang tidak menentu ini, otak kita amat mudah terdedah dan terpengaruh kepada perasaan takut yang mengakibatkan bias kognitif, di mana pada keadaan normal, perkara ini dapat dicegah dengan pemikiran yang menganalisis perkara berkaitannya dengan lebih teliti.
Perkara paling kejam dari semua itu adalah peragut yang giat aktif semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP)!
Ketika kita mula mengagumi kejayaan kita melalui tempoh PKP dan hari-hari Covid-19, tanpa disedari, beberapa perubahan kelakuan tempoh ini akan menyebabkan perubahan norma sosial.
Kemungkinan besar kita akan kurang mengunjungi tempat yang sesak atau tertutup di tempat awam seperti pawagam, stadium serta penggunaan pengangkutan awam.
Kebiasaan popular rakyat Malaysia berlibur pada hujung minggu dengan berjalan-jalan di pusat membeli-belah yang penuh sesak, bersama bayi atau anak-anak kecil mereka, mungkin berubah kepada menetap di rumah dan menikmati masa berkualiti bersama.
Keperluan amalan jarak sosial juga diharapkan dapat menginstitusikan amalan beratur, sebagai amalan harian.
Yang pasti, cara kita menjamu selera dengan rakan juga akan berubah kerana ketakutan dijangkiti wabak. Cara pemakanan sosial kita di luar seperti di restoran, cafe atau tempat kemudahan makanan, perlu mengutamakan bersih dan toyibban.
Lupakanlah niat untuk mengunjungi penjual cendol legenda yang meletakkan gerainya, tanpa air mengalir, di atas longkang utama .
Tiada gunanya mendabik dada bahawa Malaysia memiliki makanan terbaik di dunia, ketika kita masih bertolak ansur dengan medan selera dan restoran yang kotor dengan pengendali makanan yang tidak menghiraukan kebersihan dan perlindungan yang sewajarnya.
Sekiranya kita ingin memanfaatkan daya tarikan orang asing dengan koleksi masakan kita yang berbagai-bagai dan unik, inilah masanya kita mencontohi tetangga selatan kita dengan mengamalkan taraf kebersihan yang tinggi, lagi ketat.
Pekerja penguatkuasaan tidak boleh bekerja dengan setengah hati atau dilihat bersekongkol dengan pemilik restoran.
Satu kejutan besar daripada pengalaman Covid-19 ialah perubahan dalam pemikiran rakyat Malaysia yang sangat berbangga menjadi penggemar makanan yang mencabar atau suka mencuba makanan yang baru.
Sebaliknya, mereka mungkin sekarang lebih cenderung untuk membawa makan tengah hari yang disediakan dari rumah, yang mengandungi makanan sempurna dan berkhasiat. Siapa tahu, mangkuk tingkat masa lalu mungkin menjadi ikutan atau kegemaran ramai sekali lagi.
Setelah mengalami berita palsu yang berlebih-lebihan selama krisis ini berlanjutan, orang amatur dalam kalangan kita juga akan lebih berhati-hati dalam menerima berita pada masa depan, terutamanya berita yang menimbulkan ketakutan dan kebencian.
Sisa-sisa amalan jarak sosial mungkin akan menyaksikan kekurangan pengikut ahli politik di sekeliling mereka, yang mungkin akan membuat mereka benar-benar mennyingsing lengan baju dan mula bekerja, tanpa kehadiran pengikut yang ramai.
Sektor swasta pasti akan mengurangkan perjalanan kakitangan mereka melalui penerbangan udara. Secara tiba-tiba komunikasi melalui e-mel akan menggantikan komunikasi bersemuka dan akan dianggap sama berkesan.
Sektor awam juga boleh mengikuti perkembangan ini dengan mengadakan persidangan video yang canggih serta sidang webinar sebagai kebiasaan bekerja.
Di samping peningkatan populariti e-dagang, digitalisasi dalam bidang pendidikan mungkin dipercepatkan, setelah permintaan untuk e-pembelajaran ditubuhkan dan dijalankan, selama tempoh PKP ini.
Penggunaan dron dan robotik dalam kehidupan seharian juga mungkin akan ditingkatkan serta menjadi ciri tetap masyarakat, dalam bidang seperti pengawasan keselamatan, prosedur saringan, bahkan pengiriman makanan bagi masyarakat yang tinggal di seluruh dunia.
Di Malaysia, bekerja dari rumah mungkin menjadi kebiasaan dalam banyak kes dan secara tidak langsung akan mengakibatkan kurang pergantungan kepada pembantu rumah asing.
Belanjawan kesihatan di beberapa negara juga mungkin akan melihat peningkatan tinggi dan pengurangan bagi perbelanjaan pertahanan, disebabkan oleh keasyikan mereka dengan musuh khayalan.
Di negara kita sendiri, cara bagaimana penjagaan kesihatan disampaikan mungkin berubah, dengan beberapa segmen memilih e-konsultasi.
Sistem kesihatan awam juga harus sentiasa sensitif dan memperhatikan persekitaran sosial dan fizikal dengan teliti, sebagai penentu tahap kesihatan, sekiranya terjadi wabak penyakit berjangkit di masa depan.
Sistem perumahan awam dan persekitaran kerja yang sihat, serta pengiktirafan bahawa jaringan sokongan budaya dan agama sangat penting dalam memacu adat dan tradisi untuk menghasilkan penjagaan kesihatan yang lebih baik, merupakan pendekatan kesihatan awam yang bermanfaat buat masa depan.
Tumpuan kepada keperluan kesihatan mental bagi mereka yang mengalami pengaruh psikologi oleh pengalaman Covid-19 secara keseluruhannya, mungkin dapat mencetus kesedaran dalam kalangan pemerintah, supaya mereka menyedari perlunya kepemimpinan kesihatan mental yang jelas di negara kita.
Walaupun kita masih menghadapi cabaran menangani pandemik ini, kita juga dapat menggunakan kesempatan ini untuk menghadapi potensi perubahan dalam hidup kita, apabila masa-masa sulit ini berakhir kelak.
Penderitaan wabak ini memang nyata, tetapi ia juga akan berlalu akhirnya dan kita akan bangun menikmati fajar yang baru.
Ketika kita menunggu dengan daya tahan diri, kesabaran dan sikap optimis, marilah kita merenungkan kata-kata Perdana Menteri kita: “Setelah hujan datang matahari.” Hari esok yang baru dijangka akan tiba.
Dr Andrew Mohanraj adalah perunding psikiatri dan presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.