
Sumber yang terlibat dalam pengagihan makanan kepada mereka yang menetap di sekitar pasar borong Selayang berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat dijangka menyerahkan bekalan kepada kira-kira 2,600 rakyat Malaysia di situ.
Kebiasaannya, kedutaan bertanggungjawab untuk memberi makan rakyat masing-masing. Bagaimanapun, perkara itu tidak mungkin bagi Rohingya yang tidak diiktiraf kerajaan Myanmar sebagai rakyatnya.
“Siapa yang akan beri mereka makan kerana mereka tiada kerakyatan?” kata sumber itu, dan menambah tida seorang pun majikan Rohingya berkenaan tampil ke depan untuk menawarkan bantuan.
“Tiada seorang bos-bos pasar Selayang yang kaya-kaya kerana jual sayur dan daging selama ini tampil ke depan.
“Tidak ada NGO yang perjuangkan hak Rohingya itu.”
Kawasan sekitar pasar borong dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) awal minggu ini, kawasan ke-3 di ibu negara yang dikawal ketat selepas Menara City One di Jalan Dang Wangi, dan Selangor Mansion dan Malayan Mansion off Jalan Masjid India.
PKPD dijangka berkuatkuasa sehingga 3 Mei.
Sumber berkata pekerja asing di kawasan lain terima sumbangan daripada syarikat dan individu serta bantuan dari kedutaan masing-masing.
Pekerja berkenaan, kebanyakan dari Bangladesh, Nepal, India, dan Pakistan diberi barangan seperti beras, sardin dalam tin, suku pekat, minyak masak, roti, telur, teh, gula, garam, dan sabun.
“Tetapi di sini, keadaannya berbeza kerana ribuan tiada kerakyatan.”
Menurut sumber, barangan kering akan diedarkan dalam sehari dua ini ketika pihak berkuasa memulakan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan penduduk Selayang berkenaan.
Beberapa kedai runcit juga dibenarkan berniaga bagi membolehkan penduduk mendapatkan barangan asas.
Setakat penghujung Februari, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian di Malaysia menganggarkan kira-kira 179,000 pelarian berdaftar dan pemohon suaka berada di negara ini, dengan kira-kira 101,000 daripadanya Rohingya.