
Musim jerebu tahunan dari sekitar Jun hingga Oktober, menyebabkan lapangan terbang dan sekolah ditutup pada 2019. Kebakaran tanah yang dianggarkan seluas 16,000km persegi menyebabkan ekonomi Indonesia rugi sebanyak AS$5.2 juta, kata Bank Dunia.
Lebih 900,000 orang juga dilaporkan mengalami penyakit pernafasan.
Seperti banyak negara lain, tahun ini Indonesia juga berusaha menangani Covid-19, tetapi kerajaan republik itu dikritik kerana tindak balas yang perlahan dan kadar pemeriksaan yang rendah. Pegawai Jakarta menjangkakan jangkitan akan meningkat sekitar 100,000 kes pada Jun.
“Kebimbangan saya adalah jarak sosial dan sekatan pergerakan mungkin tidak dipantau dan dilaksanakan secara ketat di kawasan pedalaman,” kata Helena Varkkey, pensyarah Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Mengarahkan pegawai kerajaan melaksanakan perintah sekatan pergerakan dapat menghentikan mereka daripada meneroka hutan dan menghalang petani daripada membuka tanah secara haram, katanya kepada Thomson Reuters Foundation.
Petani Indonesia membakar sebahagian besar hutan dan tanah gambut setiap tahun untuk membuka ladang kelapa sawit dan mengembangkan sektor pertanian lain, menyebabkan asap tebal memenuhi ruang udara di sebahagian besar wilayah itu.
Tahun lalu, kebakaran hutan menyebabkan pertikaian diplomatik antara Indonesia dan Malaysia, yang terburuk sejak 2015.
Varkkey, yang mengkaji masalah jerebu selama lebih 15 tahun, berkata walaupun terdapat sekatan pergerakan berkaitan Covid-19, kebakaran hutan tahunan di dan sekitar wilayah utara Chiang Rai di Thailand masih terjadi sejak bulan lalu.
Di bahagian selatan Asia Tenggara, musim pembakaran tradisional jatuh pada akhir tahun ini, “tetapi jika situasi di Thailand adalah sesuatu yang harus dilalui, saya tidak optimis Covid-19 akan memberi kesan positif dalam mengurangkan jerebu”, tambahnya.
Ancaman berganda
Ketika sekatan pergerakan akibat Covid-19 menutup restoran, penganalisis menjangkakan harga dan permintaan minyak sawit – yang digunakan untuk semua industri dari mi segera hingga manisan- jatuh.
Harga telah turun sekitar 30% sejak Januari.
Namun, ladang sawit di Indonesia dan Malaysia, 2 pengeluar utama di dunia, sebahagian besarnya tetap beroperasi sepanjang krisis kesihatan itu.
“Jika industri terus meletakkan kepentingan pengeluaran melebihi keselamatan alam sekitar, maka krisis kebakaran mungkin sama buruk atau lebih buruk dari 2019,” kata Rusmadya Maharuddin, aktivis hutan di Greenpeace Indonesia memberi amaran.
Kejatuhan harga minyak sawit – jika jangka pendek- mungkin tidak terlalu mempengaruhi sektor ini, kata Varkkey. Tetapi yang menjadi kebimbangan ialah jika peladang sawit terus bertambah, mereka mungkin memilih kaedah pembersihan yang lebih murah, termasuk membakar untuk mengurangkan kos.
Pada masa sama, kerajaan Indonesia mengalihkan perbelanjaan untuk mengatasi penularan Covid-19, yang memberikan tekanan besar pada sistem kesihatan negara itu. Situasi dijangka bertambah buruk jika musim jerebu 2020 sangat teruk.
Awal bulan ini, Kementerian Alam Sekitar memotong peruntukan untuk 2020 sekitar AS$101 juta, pengurangan sebanyak 17% bagi perbelanjaan yang awalnya dirancang untuk tahun ini, lapor media tempatan.
Negara ke-4 paling ramai populasi di dunia dengan lebih 260 juta penduduk itu mencatat 7,000 kes jangkitan setakat ini.
Jumlah itu ke-2 tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura, walaupun ada jangkaan jumlah itu jauh lebih tinggi. Jumlah korban Covid-19 Indonesia kira-kira 600 orang adalah yang tertinggi di Asia Timur selepas China.
“Kami berdepan krisis kesihatan global dengan virus yang menyerang paru-paru orang ramai,” kata Maharuddin.
“Syarikat dan kerajaan mempunyai tanggungjawab penting dan belum pernah terjadi sebelumnya untuk mengambil langkah mencegah jerebu yang berbahaya akibat kebakaran hutan, kerana ia hanya akan menggandakan ancaman terhadap kesihatan jutaan orang di seluruh wilayah,” tambahnya.
Kementerian Alam Sekitar Indonesia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) meramalkan musim kemarau tidak seburuk 2019, yang dapat membantu meredakan risiko kebakaran merebak.
Selepas kebakaran pada 2015, Presiden Indonesia Joko Widodo menubuhkan agensi untuk memulihkan lebih 2 juta hektar tanah gambut yang rosak dan melaksanakan moratorium konsesi kelapa sawit baru.
Namun aktivis alam sekitar memberi amaran pemotongan dana alam sekitar, kadar pemulihan tanah gambut yang perlahan dan merangka undang-undang baru yang bertujuan mengurangkan “pita merah” dan meningkatkan pelaburan akan mengehadkan kemampuan Indonesia untuk mengatasi kebakaran hutan tahun ini.
“Bom waktu ini akan menyebabkan kebakaran besar yang menyebabkan jerebu dari tanah gambut yang rosak,” kata Riko Kurniawan, pengarah eksekutif Forum Indonesia untuk Alam Sekitar di Riau, wilayah di pulau Sumatera dengan hamparan tanah gambut yang luas.
“Tanpa usaha serius kerajaan, risiko kebakaran pada 2020 adalah tinggi,” kata Teguh Surya, pengarah eksekutif Madani Sustainability Foundation, sebuah kumpulan aktivis alam sekitar Indonesia.