Muhyiddin beri ‘standing ovation’ kepada petugas barisan hadapan

Muhyiddin beri ‘standing ovation’ kepada petugas barisan hadapan

PM berkata graf dan kadar penularan wabak itu semakin menurun yang merupakan usaha dan kerja keras petugas barisan hadapan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih dan memberikan sanjungan (standing ovation) kepada petugas barisan hadapan yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu Putrajaya menentang wabak Covid-19.

Muhyiddin dalam sidang video bersama petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh berkata petugas terbabit seperti doktor, polis, askar dan sukarelawan yang terlibat secara langsung membantu dan memerangi penularan wabak Covid-19.

“Saya mesti berterima kasih kepada anda semua, anda lah yang dikatakan sebagai hero tidak didendang kerana sudah bekerja sejak hari pertama lagi. Saya sendiri dimaklumkan anda bekerja tanpa henti, siang dan malam.

“Saya rasakan, inilah pengorbanan terbesar yang anda sudah lakukan kepada negara. Saya mesti ucapkan terima kasih dari lubuk hati saya kerana apa yang berlaku sejak Covid-19 ini bermula hingga sekarang ini, ia adalah perkara serius,” katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun negara masih belum mencapai kejayaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19, namun graf dan kadar penularan wabak ini semakin menurun, yang menurutnya merupakan usaha dan kerja keras petugas barisan hadapan.

“Ia melibatkan isu kesihatan dan masa depan negara kita. Saya boleh katakan anda sudah mengambil risiko yang orang lain tidak mampu dan tidak sanggup untuk harunginya. Apa yang berlaku hari ini adalah atas usaha dan kerja keras yang anda lakukan.

“Saya tahu anda semua tidak balik ke rumah sejak beberapa hari lepas, sedangkan anda semua ada suami, anak dan isteri.

“Saya boleh bayangkan apa yang anda sedang lalui. Saya doakan anda setiap hari, namun pastikan diri anda juga sihat, tidak alami sebarang masalah,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 57 kes jangkitan baru Covid-19 dilaporkan hari ini diikuti dengan 3 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah seramai 92 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.