
Penyanyi terkenal Siti Nurhaliza menggunakan peluang menemuramah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Dr Siti Hasmah secara “live” di Instagram sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini menarik perhatian netizen.
Menerusi sesi berkenaan, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 41, bertanyakan beberapa soalan peribadi kepada Siti Hasmah antaranya kelemahan Mahathir yang tidak diketahui umum.
“Saya tak nampak kelemahan dia, selalunya saya yang kalah. Tapi ada kelemahan dia bila orang nak bercakap dengan dia, semuanya kata boleh. Tapi sekarang lebih mudah, tak perlu datang rumah hanya boleh berkomunikasi melalui video,” ujarnya.
Manakala bagi Mahathir pula, isterinya itu seorang yang bertoleransi dan tidak pernah merungut meskipun dia perlu bekerja sepanjang hari.
“Dia sangat toleran terhadap saya. Selama bertahun-tahun, saya akan keluar sepanjang hari, bekerja hingga larut malam. Kadang-kadang, dia akan bertanya kepada saya apa yang saya lakukan pada hari itu.
“Ada beberapa hal yang dapat saya bincang dengannya malah ada juga beberapa hal yang saya tidak dapat. Tetapi dia tidak pernah curiga terhadap saya. Ketika saya mahu mengundurkan diri, saya tidak memberitahunya. Dia tidak tahu,” kongsi Mahathir.
Dalam pada itu, negarawan ini turut berkongsi rutin harian mereka antaranya melakukan senaman sepanjang tempoh PKP.
“Kali ini luar biasa. Saya sudah biasa aktif buat kerja, jumpa orang dan sebagainya tetapi oleh kerana PKP, terpaksa berada di rumah. Saya cari benda-benda yang saya boleh lakukan.
“Saya banyak masa untuk membaca dan menulis. Saya lakukan senaman menggunakan treadmill dan berbasikal dalam rumah sahaja.
“Tapi boring sebab lakukan benda yang sama, tak ada benda baru. Itu jadi masalah sebab boring,” kata Mahathir.
Manakala Siti Hasmah pula memberitahu dia akan melakukan senaman selepas sarapan pagi dan menghabiskan waktu dengan perkara yang ingin dilakukan di rumah antaranya bermain muzik.
“Saya pun serupa juga, bangun pagi mandi selepas solat subuh, saya akan breakfast kemudian lakukan senaman yang diperlukan. Tulang, otot dan sendi saya perlu dilonggarkan.
“Kita lama duduk dan tidur, perlu gerakkan semula. Saya akan buat selang sehari guna walker.
“Saya tak boleh membaca, mata tak nampak, perlihatan saya kurang, jadi satu saja yang boleh buat, main muzik,” ujarnya.
Ketika menceritakan kemahiran memasak, Siti Hasmah memberitahu Mahathir suka memasak terutama sekali ketika hujung minggu.
“Sesekali, pada hujung minggu, dia akan memasak hidangan kegemarannya seperti nasi goreng. Dia suka memasak.
“Kakaknya seorang tukang masak yang hebat. Oleh itu, dia belajar darinya. Dia bahkan akan memberi petunjuk kepada pembantu kami bagaimana memasak ini dan itu,” kata Siti Hasmah.
Mengenai juadah kegemaran ketika berbuka puasa Siti Hasmah dan Mahathir masing-masing mempunyai minat yang berbeza.
“Saya suka berbuka puasa dengan pisang goreng dan pengat pisang,” kata Siti Hasmah.
“Saya suka cucur udang dan popiah. Saya sangat teruja ketika berada di bazar Ramadan sehingga saya membeli begitu banyak makanan tetapi akhirnya saya tidak dapat menghabiskannya,” cerita Mahathir sambil tersenyum.
Namun katanya bulan Ramadan tahun ini pasti sangat berbeza dengan situasi yang melanda negara ketika ini.
Sehubungan itu dia berharap rakyat Malaysia akan meneruskan amalan penjarakkan sosial seperti yang dilakukan ketika ini.
“Kami berdoa dan melakukan segala amalan seperti solat Jemaah dan terawaih di rumah. Kita berpuasa di rumah, kita berbuka puasa di rumah. Kami beli makanan dalam talian, di mana terdapat banyak jenis makanan yang tersedia.”
Selain itu, Siti Hasmah turut berkongsi sepanjang tempoh PKP, mereka hanya dapat berhubung dengan anak-anak dan cucu menerus video sahaja.
“Kami bersyukur dapat berhubung dengan masyarakat dan keluarga juga. Di rumah ini, hanya ada kami berdua saja, ahli keluarga yang lain di rumah masing-masing.
“Jadi, Marina akan aturkan satu video call dengan anak-anak, menantu dan cucu untuk berkumpul dan berkomunikasi. Seronok dapat tengok cucu-cucu,” kata Dr Hasmah.
Sebelum ini, pengacara dan usahawan terkenal iaitu Neelofa turut membuat sesi Instagram live bersama figura yang disanjungi ramai pada 20 Mac lalu.
Neelofa melalui sesi Instagram live tersebut mengakui perniagaannya terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini.
Berikutan itu, dia mengambil peluang dengan mendapatkan nasihat bagi menghadapi situasi ini lebih-lebih lagi selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Dan sebelum akhiri Insta Live itu, penyanyi itu mendedikasikan lagu untuk pasangan itu, Gubahanku, yang menjadi salah satu lagu kegemaran mereka.
“Muzik adalah satu bentuk terapi bagi banyak orang,” kata Siti Hasmah sejurus selepas Siti Nurhaliza habis menyanyikannya.
“Oleh itu, apabila anda merasa tertekan, pergi ke gitar, piano atau biola dan mainkannya,” nasihatnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]