
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Marimuthu Nadason berkata pemilik rumah diberikan moratorium 6 bulan ke atas pinjaman perumahan dan mereka patut memberi manfaat sama kepada penyewa.
Beliau menggesa pemilik rumah memberi “sekurang-kurangnya 50% diskaun sewa selama 3 bulan” kerana rakyat hidup dalam tempoh tidak menentu.
Beliau turut menggesa kerajaan membuat pendirian jelas berhubung dasar sedemikian dan bukannya bergantung kepada kerelaan pemilik.
Marimuthu berkata, ramai majikan mungkin mengumumkan pengurangan pekerja sebaik saja perintah kawalan pergerakan berakhir.
Pusat beli-belah perlu bantuan
Garry Chua, presiden Persatuan Rantaian Peruncit berkata, Mid Valley Megamall, EkoCheras dan pusat beli-belah lain sudah memulakan skim sewa adil, di mana peruncit membayar sewa berdasarkan jualan mereka.
“Mereka bayar berdasarkan berapa banyak yang mereka perolehi. Cawangan barang runcit mendapat hasil lebih banyak, mereka boleh membayar lebih dengan yang lain cuba memulakan perniagaan mereka semula selepas PKP,” katanya kepada FMT.
Tetapi, beliau berkata, ini perlu diperluaskan kepada pusat beli-belah lain kerana sesetengah peruncit tidak mempunyai pendapatan.
Beliau menggesa Tenaga Nasional Berhad memberi lebih banyak diskaun kepada perniagaan berbanding 15% yang diumumkan.
“Pusat beli-belah boleh memberi potongan kepada peruncit dan mereka boleh terus bertahan ketika bulan-bulan penting ini.”
Beliau turut menggesa kadar penilaian diberikan potongan sekurang-kurangnya 6 bulan.
“Jika pusat beli-belah mendapat bantuan, mereka boleh membantu peruncit yang di antaranya membayar sewa RM50,000 hingga RM300,000 sebulan.”
Katanya, peraturan penjarakan sosial bagi 6 bulan berikutnya akan memberi cabaran kepada peruncit kerana tidak ramai orang yang akan mengunjungi pusat beli-belah.