
Ketua pengarah kesihatan memaklumkan 6 kriteria tersebut perlu dinilai setiap kementerian dan agensi yang berkenaan sebelum menghentikan kawalan di sesuatu kawasan:
- Kawalan sempadan
- Kawalan pergerakan
- Persediaan sistem kesihatan
- Tindakan dan strategi melindungi kumpulan yang berisiko tinggi seperti penyakit yang menjalani kemoterapi dan penyakit kronik
- Pengamalan norma baru seperti kerap membasuh tangan dan penjarakkan sosial
- Kenal pasti kawasan dan kumpulan dalam komuniti yang berpotensi dijangkiti
Hisham berterus-terang mengatakan tiada jaminan PKP akan ditamatkan pada 28 Apr, dan belum ada sebarang keputusan sama ada kawalan akan disambungkan atau tidak.
“Sebelum tamatkan, kena tengok kes aktif iaitu kebarangjangkitan kes tersebut, kalau kita boleh kawal, kita boleh pertimbangkan tamat PKP.
“Kalau tamat pun, mungkin tidak akan tamatkan sekali gus, yang tidak ada kena mengena dengan sektor ekonomi mungkin boleh terus duduk di rumah,” katanya pada sidang media hari ini.
Hisham berkata kementerian sedang meneliti data dan perkembangan terkini jangkitan Covid-19 bersama Majlis Keselamatan Negara dan agensi lain yang terlibat.
Indonesia hari ini mengenakan larangan balik kampung semasa Ramadan bagi mengekang penyebaran Covid-19 ketika jutaan rakyat bersesak pulang ke kampung.
Pakar perubatan republik itu memberi amaran membenarkan jutaan rakyat pulang ke kampung boleh mempercepatkan penularan penyakit itu
Sementara itu, Hisham berkata Malaysia belajar daripada pengalaman negara jiran berhubung jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga asing.
Beliau ditanya adakah KKM bercadang menyaring semua warga asing, selepas Singapura hari ini mengesahkan penambahan 623 kes jangkitan, majoritinya melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.
Penambahan itu menjadikan keseluruhan kes jangkitan di Singapura kini 5,050 kes.
Hisham sebelum ini berkata KKM menjalan saringan secara besar-besaran ke atas pekerja asing di beberapa lokasi panas Covid-19.