
Beliau yang berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Farit menyertai RTM pada 1986 dan sinonim dengan segmen Berita Dunia Jam 10 yang bersiaran selama 1 jam tentang perkembangan dunia.
Beliau juga terkenal sebagai suara di sebalik slogan iklan Dunhill “Gaya, Mutu, Keunggulan” semasa iklan jenama tembakau dibenarkan serta beberapa iklan terkenal lain di televisyen.
Rakan-rakannya di RTM memanggil beliau Pak Ngah.
Penyampai berita veteran, Harjit Singh Hullon yang sering tampil bersama Farit di Dunia Jam 10 menggambarkan beliau sebagai “sahabat setia”.
“Dia selalu bersedia menolong sesiapa sahaja yang meminta nasihat atau pertolongannya, terutama penyampai TV baru. Dia mungkin kelihatan seperti lelaki yang tegas, tetapi sebenarnya dia bersuara lembut dan ramah,” katanya kepada FMT.