Pasang, selenggara internet dibenarkan di zon hijau, kata SKMM

Pasang, selenggara internet dibenarkan di zon hijau, kata SKMM

Tetapi, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap tidak dibenarkan sama sekali di zon kuning dan merah yang mempunyai kes positif Covid-19.

SKMM berkata, di zon kuning dan merah, penyedia perkhidmatan internet hanya boleh menyelesaikan masalah sehingga di pusat pengedaran, manakala tindakan memasuki premis hanya dibenarkan untuk premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal saja. (Gambar Rawpixel)
KUALA LUMPUR:
Perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan internet kini dibenarkan beroperasi di premis dalam zon hijau, iaitu kawasan yang tiada sebarang kes positif Covid-19.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan malam tadi berkata, ia termasuk kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baru.

“Bagaimanapun, sekiranya premis berkenaan terletak di bawah zon kuning dan merah, yakni mempunyai kes positif jangkitan Covid-19, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap tidak dibenarkan sama sekali.”

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan itu perlu mengambil kira tahap keselamatan pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan.

Katanya, bagi kerja pembaikan, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang dibenarkan memasuki premis pelanggan sekiranya kawasan berkenaan terletak di zon hijau.

“Di zon kuning dan merah, mereka hanya boleh menyelesaikan masalah sehingga di pusat pengedaran (distribution point) saja.

“Tindakan memasuki premis di zon kuning dan merah hanya dibenarkan untuk premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal saja.”

Menurut kenyataan itu, pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan mereka terlebih dahulu, sebelum dibenarkan beroperasi.

Pekerja dan pelanggan juga perlu mematuhi garis panduan ketika berinteraksi seperti sentiasa memakai topeng dan mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, pelanggan di zon kuning dan merah boleh mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah, dengan melayari laman sesawang atau menghubungi terus syarikat telekomunikasi menawarkan pakej berkenaan.

“Larangan kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di zon kuning dan merah dibuat kerana ia melibatkan kehadiran penyedia perkhidmatan (sekurang-kurangnya 2 pekerja) yang perlu memasuki kediaman pelanggan bagi menjalankan penilaian teknikal tentang ketersediaan premis pelanggan untuk pemasangan jalur lebar.

“Kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di kawasan zon kuning dan merah amat berisiko dan boleh menyebabkan pekerja dan pelanggan terdedah kepada jangkitan Covid-19, sekaligus mengancam keselamatan kedua-dua pihak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.