Kementerian Pengangkutan keluar garis panduan khidmat hantaran bermotosikal

Kementerian Pengangkutan keluar garis panduan khidmat hantaran bermotosikal

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan ditetapkan.

Menurut garis panduan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, penunggang perlu menjalani proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pengangkutan hari ini mengeluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) menggunakan motosikal atau p-hailing (parcel-hailing) sepanjang penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal bagi tujuan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Garis panduan itu antaranya mewajibkan penunggang memiliki lesen memandu penuh (CDL) yang sah dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun, selain bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis

Selain mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar dan menggunakan laluan motosikal yang diwartakan sekiranya ada, kotak yang dibawa penunggang bagi mengisi barangan hendaklah mematuhi saiz yang ditetapkan JPJ, katanya.

“Semua operator dan penunggang hendaklah menitikberatkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan atau ‘contactless transaction’ selagi mana boleh disediakan,” kata Wee dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penunggang diminta untuk menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19, syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam usaha mengesan kontak pekerja yang dijangkiti dan pengurusan kontak, katanya.

“Bagi perkhidmatan p-hailing yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), sekiranya penunggang dijangkiti Covid-19 atau mempunyai simptom, adalah menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk melaksanakan langkah pencegahan penularan, termasuk kuarantin diri dan memastikan tiada perkhidmatan dilaksanakan,” katanya.

Atas dasar keselamatan, Wee berkata, penunggang p-hailing dinasihatkan supaya tidak menggunakan lebuh raya antara negeri (inter-state) bagi jarak perjalanan melebihi 10 kilometer.

“Penunggang juga perlu mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk tidak memasuki zon merah. Ini bertujuan menjaga keselamatan mereka yang terpaksa melalui perjalanan jarak jauh dan mencegah daripada penyebaran wabak Covid-19,” katanya.

Katanya waktu operasi adalah terhad dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja, selain waktu operasi dan jenis barangan yang boleh dibawa juga tertakluk kepada zon yang ditetapkan oleh MKN dan peraturan semasa.

Wee berkata, semua penunggang yang menghantar barangan perlu sentiasa membawa bersama-sama mereka surat pengesahan daripada majikan atau surat pendaftaran dengan PBT.

Semua penunggang p-hailing juga diwajibkan memuat turun dan mendaftar di aplikasi kendalian MKN, iaitu mySejahtera (mysejahtera.malaysia.gov.my) dan perlu menunjukkan bukti pendaftaran kepada pihak penguat kuasa, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.