
Dalam Tinjauan dan Indeks Hartanah Suku Pertama 2020 untuk Malaysia, Juwai IQI meramalkan harga hartanah kediaman akan kekal pada 2020 dengan kenaikan hanya 1.1%.
Pengarah eksekutif kumpulan, Kashif Ansari berkata penurunan jumlah transaksi hartanah akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) turut menyebabkan harga hartanah terhenti.
“Industri optimis, tetapi, mengenai pemulihan selepas pandemik dan menjangkakan harga kediaman meningkat 8.6% menjelang 2021.
“Di tengah-tengah semua ketidaktentuan, hartanah masih dianggap pelaburan agak selamat yang dapat memberikan aliran tunai.”
Katanya, moratorium 6 bulan Bank Negara ke atas kadar faedah dan bayaran pokok pinjaman melegakan pemilik hartanah dan mengurangkan tekanan terhadap pasaran hartanah.
Tinjauan itu yang disertai lebih 340 ejen hartanah dari 7 Feb hingga 19 Mac lalu turut mendedahkan kadar sewa dijangka meningkat pada purata 1.7% hingga akhir tahun ini.
“Tinjauan itu menunjukkan Sarawak mempunyai ramalan tertinggi pertumbuhan kadar sewa pada 5.4% pada 2020. Pulau Pinang mempunyai ramalan paling negatif dengan kadar sewa dijangka merosot 5.8% pada 2020.
“Tetapi 2 tahun kemudian, ejen lebih yakin dengan kadar sewa. Di seluruh negara, ejen menjangkakan kadar sewa meningkat 7.1% menjelang Januari 2022.”
Ansari berkata, hartanah mungkin kekal menarik kepada pembeli asing kerana lokasi strategik Malaysia.
“Jaraknya yang dekat dengan negara seperti Jepun, China, Hong Kong dan Singapura, yang merupakan pembeli hartanah rentas sempadan terbesar di dunia, menjadikannya lebih menarik.
“Bagi pelabur dan pembeli rumah pertama, sekarang sudah tentunya masa terbaik untuk mempertimbangkan memasuki pasaran disebabkan diskaun menarik yang ditawarkan pemaju.”
Kira-kira 61% ejen hartanah yang menyertai tinjauan itu menjangkakan pembeli tempatan kali pertama akan melakukan lebih banyak transaksi hartanah pada 2020 berbanding 2019, manakala 55% ejen menjangkakan pembeli asing melakukan lebih banyak transaksi.
Tinjauan itu turut mendedahkan kemungkinan berlaku perubahan pengguna dalam pembelian hartanah, dengan penggunaan peralatan atas talian yang lebih banyak seperti realiti maya, penstriman langsung dan lukisan 3D, untuk memudahkan pemasaran, penyelidikan serta pembelian hartanah akibat Covid-19.