2 kawasan di Selayang kena kawalan ketat

2 kawasan di Selayang kena kawalan ketat

Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong KL dikenakan PKPD.

Lori askar dilihat berdekatan pasar borong di Selayang, ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk mengenakan kawalan ketat di kawasan sekitar.
PETALING JAYA:
Dua kawasan di Selayang, Kuala Lumpur dikenakan kawalan ketat, perintah yang ke-6 sepertinya ketika tempoh kawalan memasuki fasa ke-3.

Berkuatkuasa 20 Apr hingga 3 Mei, kawasan tersebut adalah Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pasar Borong Kuala Lumpur, antara tumpuan utama untuk barangan mentah di ibu negara, tidak ditutup dan masih dibuka seperti biasa, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

“Kita tutup kawasan perumahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kali ini melibatkan 8 parcel iaitu:

* Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara (Parcel A)
* Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara (Parcel B)
* Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara (Parcel C)
* Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara (Parcel D)
* Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D (Parcel E1)
* Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D (Parcel E2)
* Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B (Parcel E3)
* Taman Batu View dan Taman Batu Hampar (Parcel F)

Ismail memaklumkan kawalan ketat ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19. “Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa.”

Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan IPD Sentul di 03-4048 2212.

Sementara itu, Ismail memaklumkan tiada perancangan untuk melibatkan kumpulan sukarela Rukun Tetangga dalam usaha membantu polis mengawal kawasan di bandar dan luar bandar sepanjang tempoh PKP.

“Tidak ada keperluan ketika ini,” katanya.

Sejak semalam, pihak berkuasa mengadakan 820 sekatan jalan rata dan melakukan pemeriksaan ke atas 369,106 kenderaan. Sebanyak 42,482 pemeriksaan mengejutkan juga diadakan dengan 6,856 premis diperiksa pihak berkuasa.

“Polis juga menangkap 1,174 individu berbanding 1,111 individu pada hari sebelumnya kerana ingkar PKP, merangkumi 1,012 individu yang direman dan 162 individu dijamin polis,” katanya.

Setakat semalam, jumlah tangkapan kumulatif individu yang ingkar PKP adalah sebanyak 15,924 individu.

Sementara itu, polis memandang serius kes penipuan penjualan topeng, yang setakat hari ini dianggarkan mencecah kerugian RM4.2 juta.

Ismail meminta orang ramai lebih berwaspada terhadap penipuan yang dilakukan melalui media sosial dan bersemuka itu.

“Pembeli juga boleh buat semakan akaun bank penjual dahulu, sebelum membuat pembayaran menerusi portal ‘Semakmule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau status penjual dalam talian di laman web www.biztrust.ssm.com.my,” katanya.

Mengenai situasi barangan asas, Ismail memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan harian mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa walaupun menjelang Ramadan.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sentiasa memantau bekalan makanan terutama beras dan keperluan asas lain.

Sementara itu, Ismail memaklumkan sebanyak 191 pusat kuarantin beroperasi setakat hari ini berbanding 190 hari sebelumnya.

Seramai 15,972 individu sedang jalani proses kuarantin wajib, tambahnya.

“Seramai 13,777 rakyat yang pulang dari luar negara dikuarantin wajib sejak 3 April. Sejak 18 April, 2,182 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

“Urusan penghantaran pulang ke kampung halaman masing-masing termasuk rentas negeri akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.