15,000 penduduk di Selayang akan disaring untuk Covid-19

15,000 penduduk di Selayang akan disaring untuk Covid-19

Menteri Annuar Musa berkata pihak berkuasa menjangkakan kira-kira 1,500 orang akan menjalani ujian setiap hari bermula hari ini.

Anggota tentera memasang kawat duri di perkarangan Taman Sri Murni Fasa 1, 2 dan 3 Selayang selepas dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan hari ini.
PUTRAJAYA:
Pihak berkuasa akan menjalankan saringan Covid-19 ke atas kira-kira 15,000 penduduk di kawasan di Selayang, Kuala Lumpur yang dikenakan kawalan ketat berkuatkuasa hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga memaklumkan pihak berkuasa menjangkakan kira-kira 1,500 orang akan menjalani ujian setiap hari bermula hari ini dan berharap akan dapat menyaring semua orang dalam tempoh 1 minggu.

Katanya, 500 petugas kesihatan akan ditempatkan di 6 stesen berbeza di sekitar kawasan Pasar Borong KL di mana mereka akan menjalankan pemeriksaan ke atas penduduk.

“Ini satu perkara yang mencabar kerana kawasan ini mempunyai jumlah penduduk yang agak tinggi,” katanya di Facebook hari ini, dan menambah penduduk di kawasan terbabit beberapa kali ganda lebih ramai berbanding penduduk di sekitar Jalan Masjid India, juga di ibu negara.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 3 Mei, melibatkan 8 parcel.

Kawasan ini merupakan yang ke-3 di Kuala Kumpur yang dikenakan sekatan selepas Menara City One di Jalan Dang Wangi, dan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.