
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 48 kes baru dilaporkan hari ini berbanding 17 kes positif wabak berkenaan, semalam.
Jelasnya, kes hari in melibatkan 43 pelajar yang baru pulang dari Magetan, Indonesia. Manakala 3 kes melibatkan warganegara yang baru pulang dari Acheh, 1 dari Turki dan 1 lagi dari Kalimantan.
Katanya, sehingga kini 16,800 rakyat Maaysia yang pulang dari luar negara sedang menjalani kuarantin dengan 11,725 orang dipantau KKM.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu kluster baru Covid-19 dikesan di pintu masuk antarabangsa melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.
Beliau memberitahu, kluster itu terdiri daripada 43 pelajar yang pulang dari Temboro, iaitu salah satu kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Magetan, Jawa.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 34 orang dikuarantin di negeri Melaka dan 9 di Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, 8 orang pakar perubatan dari China yang berkunjung ke Malaysia bukan bertujuan untuk merawat pesakit Covid-19, sebaliknya bertukar pengalaman dan berbincang mengenai penyelidikan mengenai virus itu.
Ketika ditanya, adakah negara akan mempercayai rombongan itu selepas China dikritik dengan dakwaan menyembunyikan data dan kebenaran mengenai wabak berkenaan di negara mereka.
Noor Hisham berkata, KKM akan meneruskan perbincangan dengan pasukan tersebut tanpa mengira kejayaan atau kegagalan mereka dalam mengendalikan kes Covid-19 di China.
“Yang tidak berjaya, kita tidak akan ulangi dan tidak teruskan kaedah yang mereka lakukan.
“Apa yang penting, nak tambah pengetahuan tentang virus kerana ini virus yang baru.
“Mungkin dengan perbincangan lebih lanjut dengan mereka berdasarkan pengalaman lebih 2 bulan berhadapan virus ini.
“Pengalaman ini penting, sama ada positif atau negatif, kita boleh belajar,” katanya.