
Shah Saleem Faruqi berkata, ia memenuhi kriteria di bawah Perkara 55(1) perlembagaan yang menetapkan bahawa dewan hendaklah bersidang tidak lebih 6 bulan dari sidang terakhir.
“Perlembagaan tidak menetapkan bilangan hari, persidangan dan mesyuarat yang mesti dijalankan.
“Asalkan ia bersidang sebelum 4 Jun, maka ia memenuhi ketetapan perlembagaan,” Shad Saleem memberitahu FMT apabila diminta memberi komen ke atas notis daripada setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat kepada ahli Parlimen memaklumkan tentang sidang 1 hari pada 18 Mei itu.
Notis itu menyebut, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sidang itu diadakan hanya untuk membincangkan usul dan urusan kerajaan, dan tiada sesi atau usul pertanyaan lisan dan bertulis akan diadakan.
Persidangan terakhir Dewan Rakyat adalah pada 5 Disember lepas dan sidang berikutnya mesti diadakan sebelum 4 Jun.

Shad Saleem, yang juga merupakan anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berkata, sidang Parlimen boleh ditangguhkan selama mana diperlukan hanya jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 perlembagaan.
Beliau berkata, Parlimen tidak bersidang selama 22 bulan dari 15 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971 berikutan insiden 13 Mei.
“Perkara 150 membenarkan peruntukan perlembagaan digantung atau dibubarkan dan tidak ada had masa ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun selagi dewan bersidang sebelum 4 Jun, maka ketetapan perlembagaan telah dipenuhi.
“Jelaslah, ketetapan perlembagaan adalah suatu perkara, sementara kewajaran politik dan keabsahan demokrasi suatu perkara yang lain.
“Dari sudut demokrasi ia dikesali, walaupun ia sah di sisi perlembagaan,” katanya.
Profesor emeritus dari fakulti undang-undang Universiti Malaya itu berkata, sidang Parlimen perlu diadakan bagi meneliti undang-undang dan memberikan kekebalan ke atas obligasi yang tertangguh berikutan krisis Covid-19.
Beliau berkata, ini kerana orang ramai mungkin gagal memenuhi kontrak dan obligasi mereka.
“Anda boleh memfailkan saman. Itu dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi undang-undang juga harus tampil dan melindungi pekerja pembinaan, pemaju perumahan, pekerja dan majikan, serta peminjam dan bank.
“Sesetengahnya mungkin tidak dapat memenuhi kontrak kerana barangan dan bekalan tidak ada,” katanya.
Shad Saleem berkata, persidangan pada 18 Mei itu perlu mematuhi perintah jarak sosial seperti ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Selain persidangan 1 hari katanya, Parlimen boleh bersidang melalui sidang video atau dikurangkan kehadirannya kerana ia hanya memerlukan korum 26 ahli dan seorang speaker.
“Urusan Parlimen boleh diteruskan. Kira-kira 50 ke 60 daripada 222 ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mewakili negeri-negeri boleh bermesyuarat. Ini boleh menjamin jarak sosial,” katanya.
Beliau berkata, dalam demokrasi berparlimen, Parlimen adalah tempat ahli Parlimen mengemukakan soalan kepada menteri dan menyuarakan pandangan mereka.
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof juga memberitahu FMT bahawa kerajaan berhak dari segi perlembagaan untuk bersidang “hanya 1 hari” selagi ia dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh persidangan sebelum ini.
Dalam pada itu, ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Parlimen harus menggunakan platform digital untuk bermesyuarat kerana “tiada orang yang tahu secara pasti keadaan Covid-19 pada tarikh 18 Mei kelak”.
Beliau berkata, langkah pertama yang boleh diambil ialah dengan meminta semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen memantau pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Sesetengah ahli Parlimen sudah menggunakan platform digital,” katanya, selain menambah bahawa ia memperlihatkan akauntibiliti untuk menganjurkan perbahasan berhubung urusan Parlimen.