Terengganu mohon Putrajaya pertimbang semula potongan royalti minyak

Terengganu mohon Putrajaya pertimbang semula potongan royalti minyak

Ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan lebih khusus kepada keperluan rakyat Terengganu, terutama ketika menghadapi kesan penularan Covid-19.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu akan muncul satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak berhutang kepada kerajaan persekutuan, jika baki RM300 juta lebih dibayar dalam masa 3 tahun.
KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu berharap pemotongan 25% hutang kerajaan negeri menerusi royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) dipertimbangkan semula oleh kerajaan persekutuan.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan lebih khusus kepada keperluan rakyat Terengganu, terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik Covid-19.

“Saya telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) supaya dibuat pertimbangan (pemotongan) wang royalti ini kerana banyak agenda yang akan tergendala, ditambah pula suasana Covid-19 ini yang memerlukan perhatian khusus terhadap keperluan rakyat Terengganu.”

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu sebuah program Bernama TV di Wisma Bernama semalam.

Samsuri berkata, sejak Mei 2018, kerajaan negeri yang menerima 5% WTP daripada kerajaan persekutuan sudah membayar hutang kira-kira RM400 juta melalui pemotongan WTP yang diterima 2 kali setahun.

“Ini menyebabkan kita hanya tinggal dalam RM300 juta lebih lagi hutang kepada kerajaan persekutuan dan sekiranya dibuat pembayaran dalam masa setahun atau 2, 3 tahun ini, Terengganu akan muncul sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak ada hutang langsung kepada kerajaan persekutuan.”

Samsuri mengakui pihaknya menjangkakan akan menerima WTP dengan pengurangan jumlah agak ketara berbanding sebelum ini, berikutan penurunan harga minyak dunia.

“Kami harapkan suku ke-3 tahun ini (harga minyak) akan lebih positif, jadi kalau itu boleh berlaku dengan terimaan WTP (lebih tinggi), kami mampu lakukan sesuatu untuk Terengganu.”

Tahun lalu, kerajaan negeri menerima RM1.277 bilion WTP daripada kerajaan persekutuan yang dibayar secara berperingkat mulai Januari hingga September.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.