
“Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri berbincang dan membuat pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Sim Kui Hian.
Semalam Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan tidak membenarkan semua bentuk bazar Ramadan, termasuk kaedah “pandu lalu” dan “tempah dan ambil”.
Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menimbangkan pandangan yang dikemukakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpul (DBKL) supaya e-bazar dibenarkan untuk jualan makanan pada bulan Ramadan.
Ismail berkata, majlis itu memutuskan semua bentuk bazar Ramadan atau warung makanan tidak dibenarkan.
Bagaimanapun kerajaan Selangor berkata, ia sedang menimbangkan untuk membenarkan e-bazar yang menyediakan khidmat penghantaran.
Dalam perkembangan lain, Sim membidas DAP Sarawak kerana berpolitik ketika negeri itu berdepan ancaman wabak Covid-19.
Semalam pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan pusat dan negeri tidak menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat yang tinggal di kawasan yang diwakili pembangkang.
Chong juga mendakwa DAP Sarawak menerima banyak aduan daripada orang awam yang tidak menerima bantuan makanan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sim bagaimanapun berkata, “adalah sangat menyedihkan tatkala kita bertungkus-lumus menentang wabak Covid-19, terdapat orang yang masih bebas bermain politik”.
Beliau berkata, rakyat yang memerlukan bantuan makanan, yang disediakan oleh kerajaan negeri di bawah pakej rangsangan “Sarawakku Sayang”, boleh menghubungi pejabat daerah masing-masing.
“Kami mahu pastikan semua mendapat bantuan makanan daripada kerajaan, terutama pada masa sukar ini.
“Ini bukan masanya untuk bermain politik. Ia tidak akan menyelamatkan nyawa rakyat dan jika kita tidak cermat, lebih ramai yang akan terkorban kerana Covid-19, bukan kerana lapar,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Sarawak merekodkan 10 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 397 kes.
Daripada jumlah itu, 7 mendapat rawatan di Hospital Besar Sarawak, 2 di Hospital Mirib dan seorang di Hospital Sibu, katanya.
“Sarawak hari ini juga merekodkan 119 kes baru individu di bawah penyiasatan (PUI), menjadikan jumlah keseluruhan 3,184 orang.
“Daripada jumlah ini, 2,687 kes disahkan negatif, sementara 100 yang lain menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.
Setakat ini, 55 individu dibenar keluar hospital dan angka kematian akibat Covid di Sarawak adalah 14.