
Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata denggi merupakan endemik di Malaysia dan jumlah kes jangkitan masih membimbangkan.
Kementerian Kesihatan mencatatkan 37,217 kes denggi di seluruh negara mulai 1 Jan hingga 15 April lalu.
Sebanyak 22,532 kes atau 60% daripada jumlah itu dicatatkan di Selangor, disusuli Johor (3,027) dan Kuala Lumpur (2,781).
Selangor juga merupakan negeri paling teruk terjejas akibat Covid-19, dengan 1,316 kes direkodkan setakat 15 April, diikuti Kuala Lumpur (926) dan Johor (301).
Ganabaskaran memberitahu FMT, individu yang dijangkiti denggi berdepan risiko jika terdedah kepada Covid-19 atau penyakit berjangkit lain.
“Seperti usaha memerangi Covid-19, perjuangan melawan denggi juga merupakan tanggungjawab bersama.
“Ia bukan hanya tanggungjawab majlis perbandaran atau jabatan kesihtan, kita juga mempunyai peranan.”
Beliau mengimbau kempen menentang denggi pada 1970-an dan 1980-an di televisyen dan berkata, ia sangat berkesan dengan pemeriksaan dilakukan ke atas tempat pembiakan nyamuk oleh pihak berkuasa.
“Denda pada kadar tinggi dikenakan kepada pemilik rumah yang mempunyai air bertakung di longkang, pasu bunga atau bekas lain.
“Rakyat akan panik ketika pegawai perbandaran melawat kejiranan mereka, bimbang mereka mempunyai bekas bertakung air di sekitar rumah.”
Katanya, tindakan penguatkuasaan sedemikian jarang dilihat sekarang.
“Saya percaya langkah ini berjaya meningkatkan kesedaran terhadap denggi. Mungkin strategi sama perlu digunakan untuk mendidik generasi sekarang.”
Beliau menyifatkan semburan asap sebagai “langkah baik jangka pendek” yang boleh dilakukan di kawasan “hotspot” walaupun ketika sumber kerajaan memfokuskan usaha memerangi Covid-19.
Katanya, orang ramai perlu memastikan rumah mereka sentiasa bersih dan tiada air bertakung dalam longkang serta bekas.