Harga kit ujian Covid-19 dari Korea Selatan kurang RM50, kata Noor Hisham

Harga kit ujian Covid-19 dari Korea Selatan kurang RM50, kata Noor Hisham

Harga kit ujian boleh dikurangkan sekiranya Malaysia membeli secara pukal.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit saringan dari Korea Selatan mempunyai ketepatan hampir 100% dan merupakan berita baik kepada KKM kerana sampel daripada kelompok sasaran tidak perlu lagi dihantar ke makmal.
KUALA LUMPUR:
Kit ujian pantas Covid-19 yang diimport dari Korea Selatan akan dibawa masuk secara pukal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, harga kit ujian tersebut juga kurang daripada RM50.

Bagaimanapun katanya, harga kit berkenaan boleh dikurangkan sekiranya Malaysia membeli secara pukal.

“Ketika ini harganya kurang daripada RM50, tetapi sebab kita akan beli pukal, jadi kosnya menjadi lebih murah,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya akan mula menggunakan kit ujian dari Korea Selatan yang mempunyai ketepatan hampir 100% dalam mengesan jangkitan Covid-19 dalam tubuh manusia.

Noor Hisham berkata, kit ujian bernama Standard Q Bio-Censor itu mempunyai keupayaan 84.4% untuk mengesan jangkitan wabak tersebut.

Katanya, daripada 100 inividu yang diperiksa, 84.4% berjaya dikesan terkena jangkitan itu.

Menurutnya, kit ujian itu merupakan berita baik kepada KKM kerana sampel daripada kelompok sasaran tidak perlu lagi dihantar ke makmal.

Noor Hisham juga memaklumkan lebih 90,000 individu telah disaring di seluruh negara dan 5.4% didapati positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.