
Bekas perdana menteri itu berkata, China dan Korea Selatan dilihat lebih berjaya dalam usaha mengekang wabak Covid-19 apabila negara itu menyekat kebebasan dan turut diterima baik rakyatnya.
“Ya, mereka bayar dengan harga yang amat tinggi, dengan kematian yang begitu ramai. Amerika Syarikat seramai 26,000 orang mati, Itali pula seramai 10,000 kematian, begitu juga dengan Sepanyol. Hal ini kerana, dalam penyakit virus ini, yang diutamakan adalah jangkitan.
“Kalau tidak ada jangkitan, maka virus ini akan tamat. Umpamanya jika 1 orang yang duduk di sebuah pulau, yang tidak ada orang lain, maka ia tidak akan menjangkiti orang lain kerana tidak ada orang lain yang berdekatan,” katanya dalam sidang video, hari ini.
Mahathir berkata, tidak dinafikan konsep disiplin ini sememangnya bercanggah dengan konsep kebebasan, yang menurutnya sering dilaungkan negara barat dalam pelbagai perkara melibatkan kepentingan hak asasi manusia.
“Di China, mereka buat satu keputusan dan rakyat mesti ikut, kalau tidak ikut mungkin akan didenda. Mungkin kita tidak suka apabila kerajaan bertindak menghalang kebebasan tetapi inilah yang membolehkan kita kawal wabak ini,” katanya.
Mahathir turut mengambil contoh kluster tabligh di Malaysia yang menjadi 40% penyumbang jumlah pesakit Covid-19. Menurutnya, apabila penjarakkan sosial tidak dijaga serta tidak mengenakan topeng muka, maka lebih ramai akan mudah dijangkiti.
Beliau turut menggalakkan pakar perubatan di negara ini terlibat secara langsung dengan pakar-pakar lain dari seluruh dunia bagi mencari vaksin Covid-19.
“Kita patut bersama-sama dengan saintis di dunia, dalam usaha mencari vaksin. Mungkin boleh jumpa vaksin dengan lebih awal tetapi harus diuji terlebih dahulu kerana vaksin ini bukannya untuk 1 negara sahaja tetapi seluruh dunia,” katanya.
Jelasnya, proses menemukan vaksin bukanlah perkara mudah sebaliknya menelan masa yang agak panjang, sekurang-kurangnya 18 bulan untuk proses uji kaji dan tambahan 6 bulan lagi untuk memastikan keberkesanannya.
Mahathir juga berkata, rakyat perlu menerima hakikat norma baru yang akan dilalui selepas wabak Covid-19. Menurutnya, gaya hidup rakyat akan berubah dan mereka perlulah bersedia menyesuaikan diri.
“Kalau dahulu mungkin kita minat sukan bola sepak dan akan ke stadium tetapi kali ini kita lihat hanya di stesen televisyen sahaja. Pekerjaan juga sama, duduk di rumah bekerja memerlukan cara hidup yang berbeza,” katanya.