
Berikut soalan lazim mengenai penunaian di kaunter Bank Simpanan Nasional bagi penerima Bantuan Prihatin Nasional kategori B40.
Penerima
1. Saya telah membuat semakan dan maklumat pembayaran yang dipaparkan adalah “Tiada Akaun” atau status “Gagal Kredit”. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan bayaran berkenaan?
Sekiranya paparan di Portal Bantuan Prihatin Nasional menunjukkan Tiada Akaun atau status adalah Gagal Kredit, pembayaran akan dilakukan secara tunai di Kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) sahaja.
Penunaian boleh dibuat dengan membawa MyKad dan Nombor Siri yang dipaparkan pada Maklumat Pembayaran. Semakan Nombor Siri boleh dibuat di Portal Bantuan Prihatin Nasional, https://bpn.hasil.gov.my.
2. Bilakah tarikh penunaian Bantuan Prihatin Nasional boleh dibuat di kaunter BSN?
Penerima boleh hadir ke kaunter BSN setelah Nombor Siri wujud pada paparan Maklumat Pembayaran dan penunaian boleh dibuat di Kaunter BSN mulai 17 April 2020.
3. Bilakah tarikh akhir tuntutan bayaran secara tunai Bantuan Prihatin Nasional boleh dibuat?
Penerima perlu membuat penunaian di Kaunter BSN selewat-lewatnya pada 31 Disember 2020.
Wakil/Waris
4. Adakah wakil/waris dibenarkan untuk membuat penunaian Bantuan Prihatin Nasional bagi pihak penerima yang tiada akaun / gagal kredit / meninggal dunia / uzur / kurang upaya / sakit berpanjangan atau mempunyai halangan untuk membuat penunaian di BSN dan siapakah yang dibenarkan untuk menjadil wakil / waris berkenaan?
Ya. Wakil / waris dibenarkan untuk membuat penunaian Bantuan Prihatin Nasional bagi pihak penerima di Kaunter BSN. Wakil / waris yang dibenarkan untuk membuat penunaian Bantuan Prihatin Nasional adalah wakil / waris yang telah didaftarkan semasa permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) dan mestilah terdiri daripada hubungan berikut:
a. Ibu / Bapa
b. Pasangan
c. Anak
d. Adik-Beradik
e. Cucu
Bagi pembayaran Bantuan Prihatin Nasional secara pengkreditan ke akaun bank, prosedur pengeluaran adalah tertakluk kepada terma dan syarat bank penerima yang telah didaftarkan.
5. Apakah dokumen yang perlu dibawa semasa mewakilkan penerima bagi penunaian Bantuan Prihatin Nasional?
Dokumen yang perlu dikemukakan oleh wakil/waris yang berdaftar bagi pembayaran BPN secara tunai adalah seperti berikut:
i. Sijil Kematian (asal atau salinan) penerima; atau
ii. Kad pengenalan (asal atau salinan) penerima; dan
iii. Kad pengenalan (asal) wakil; dan
iv. Dokumen pembuktian pertalian antara penerima dan wakil/waris (rujuk di bawah).
| Bil. | Hubungan Wakil / Waris | Dokumen Pengesahan Pertalian |
| 1. | Ibu / Bapa | Sijil Kelahiran Penerima |
| 2. | Pasangan | a. Sijil Perkahwinan; ATAU b. Sijil Lahir Anak |
| 3. | Anak | Sijil Kelahiran Wakil |
| 4. | Anak Angkat | a. Sijil anak angkat yang dikeluarkan oleh JPN; ATAU b. Pengesahan Agensi Kerajaan (jika pemohon tiada sijil angkat) iaitu: i. Mahkamah; atau ii. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) |
| 5. | Anak Tiri | a. Sijil Lahir Wakil (anak tiri); DAN b. Sijil Perkahwinan Ibu / Bapa Tiri |
| 6. | Adik Beradik | a. Sijil Kelahiran Penerima; DAN b. Sijil Kelahiran Wakil |
| 7. | Cucu | a. Sijil Kelahiran Wakil (Cucu); DAN b. Sijil Kelahiran Ibu / Bapa kepada Wakil |
v. Dokumen sokongan yang mana berkaitan:
a. Surat Pengesahan daripada Penjara / Pusat Serenti (jika penerima berada di Penjara atau Pusat Serenti); atau
b. Surat Pengesahan Majikan sebagai bukti penerima berada di luar negara kerana menjalankan tugas; atau
c. Surat pengesahan hospital jika penerima menerima rawatan di hospital; atau
d. Surat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) / Pengusaha Rumah Jagaan; atau
e. Surat kebenaran / pengesahan daripada hospital / klinik / Ketua Kampung / Ketua Kawasan dan ke atas bagi penerima yang uzur (tidak berdaya untuk bergerak); atau
f. Kad OKU asal.
6. Suami saya adalah penerima Bantuan Prihatin Nasional yang akan menerima bantuan secara tunai. Walau bagaimanapun, suami saya telah meninggal dunia. Adakah saya layak menjadi wakil/waris untuk penunaian Bantuan Prihatin Nasional suami saya?
Bagi penerima Bantuan Prihatin Nasional yang telah lulus tetapi telah meninggal dunia, wakil/waris yang berdaftar (rujuk jawapan bagi soalan 5) boleh hadir ke BSN untuk penunaian.
7. Saya bukan warganegara Malaysia tetapi menetap di Malaysia, adakah saya layak menjadi wakil?
Ya, jika anda bukan warganegara Malaysia tetapi menetap di Malaysia, anda layak menjadi wakil sekiranya hubungan anda dan penerima adalah terdiri daripada ibu / bapa / pasangan / anak / adik-beradik / cucu.