3 subjenis Covid-19 berlainan dijumpai, adakah virus ini sedang bermutasi dengan cepat?

3 subjenis Covid-19 berlainan dijumpai, adakah virus ini sedang bermutasi dengan cepat?

Masih banyak lagi yang kita tidak tahu berkenaan dengan Covid-19, namun, kajian yang dijalankan akan membantu sedikit sebanyak untuk lebih memahami dan mencegah penularannya.

Kajian terbaru menunjukkan 3 subjenis berbeza bagi Covid-19 berdasarkan analisis yang dibuat melalui algoritma matematik dapat membantu saintis untuk lebih memahami dan meramal kawasan hotspot yang seharusnya diberikan perhatian.

Logik tak kalau kita beranggapan Covid-19 sedang mengalami proses mutasi?

Ia merupakan satu andaian yang lazim. Pelbagai jenis abjad yang digunakan bagi mendefinisikan strain virus baru seperti jenis L dan S, yang terbaru, jenis A, B dan C.

Setakat ini tiada sistem pengelasan yang khusus bagi Covid-19.

Namun, jika dilihat pada virus pernafasan yang lain seperti virus influenza, sistem pengelasan yang mudah boleh memberikan impak kepada tahap kesihatan individu.

Andaian yang pernah ditolak, bukti proses mutasi Covid-19 tidak kukuh

Pada awal bulan Mac, satu kajian berkenaan dengan proses mutasi wabak Covid-19 diterbitkan dalam laman jurnal National Science Review.

Dapatan kajian menunjukkan Covid-19 bermutasi dan populasinya terbahagi kepada 2; 1 virus yang lemah dan 1 sangat agresif.

Saintis yang mengumpul data daripada 103 pesakit yang disahkan positif Covid-19 menggunakan teknologi analisis genom.

Hasil daripada kajian itu menunjukkan Covid-19 boleh dikategorikan kepada 2 strain iaitu jenis L dan jenis S.

Covid-19 jenis L dikatakan mempunyai karakter yang lebih agresif berbanding dengan jenis S.

Namun, oleh sebab China menjalankan perintah kawalan pergerakan, jumlah kes yang didiagnosis dengan virus strain ini semakin berkurangan.

Ini bermakna pada ketika ini, kes baru kebanyakannya diterajui oleh Covid-19 jenis S.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar tidak bersetuju dan tidak menyokong kesimpulan yang dibuat oleh kajian tersebut.

Ini berikutan ia lebih kepada spekulasi dan kadar mutasi yang dianalisis hanya melibatkan segmen kecil pada susunan maklumat genetik virus tersebut.

Jika perubahan pada gen hanya sedikit, agak mustahil untuk Covid-19 jenis L dan S mempunyai ciri-ciri yang jauh beza.

Tambahan pula, kajian tersebut hanya melibatkan 103 individu dari satu lokaliti.

Bukan mudah untuk kita kaji berkenaan dengan proses mutasi virus. Ia boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Kumpulan pengkaji itu sendiri memperakui bahawa data yang mereka kumpul terhad dan perlu dikaji dalam sampel yang lebih besar.

Mutasi COVID-19 kepada subjenis A, B dan C

Apabila jumlah peningkatan kes positif bagaikan tidak berkesudahan, kajian virus perlu ditekankan terutamanya pada aspek rawatan dan maklumat genetik bagi memahami corak jangkitan yang berlaku.

Pengkaji dari United Kingdom (UK) dan Jerman membuat ilustrasi berkenaan dengan corak evolusi Covid-19 yang menjangkiti manusia.

Ini berdasarkan 160 maklumat genom virus yang dikutip di seluruh dunia.

Oleh sebab proses mutasi Covid-19 berlaku pada kadar yang cepat, bagi melihat semua cabangan mutasi yang berlaku, saintis menggunakan satu algoritma matematik khusus.

Berdasarkan kepada algoritma tersebut, Covid-19 boleh dibahagikan kepada 3 subjenis; A, B dan C.

Menurut Dr Peter Forster, peneraju kepada kajian tersebut, subjenis A merupakan maklumat genetik virus yang asal.

Ia boleh ditemui di Wuhan namun apa yang peliknya, jenis A bukanlah Covid-19 yang mendominasi pesakit di kota tersebut.

Majoriti mereka yang dijangkiti di kota Wuhan mempunyai Covid-19 jenis B.

Ia merupakan subjenis yang boleh ditemui di seluruh negara di Asia Timur.

Jenis C pula merupakan mutasi Covid-19 yang menjangkiti pesakit Eropah seperti Perancis, Itali dan Sweden.

Covid-19 jenis C tidak terdapat di China namun pernah dikesan di Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

Analisis yang pernah dibuat di Itali menunjukkan ia berasal daripada kluster di Singapura.

Oleh sebab model ini berupaya untuk menunjukkan corak jangkitan dan jenis virus dengan tepat, pengkaji menyarankan kaedah ini diguna pakai untuk meramal lokasi hotspot jangkitan kelak.

Potensi kajian genetik mutasi virus untuk basmi Covid-19

Ramai yang bersetuju, jumlah jangkitan dunia yang direkodkan pada angka lebih daripada 2 juta itu hanyalah sebahagian daripada mereka yang benar-benar positif.

Ini berikutan jumlah tersebut diambil daripada kes yang didiagnosiskan secara rasmi oleh badan kesihatan di sesebuah negara.

Memang tidak hairanlah jika jangkitan tersebut sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding dengan jumlah kes yang direkodkan.

Disebabkan itu, kerajaan menggalakkan mereka yang berisiko untuk hadir menjalani ujian saringan.

Menurut Dr Forster, kajian genetik berkenaan dengan asal-usul Covid-19 boleh membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti kes yang tidak didokumentasikan.

Langkah tersebut penting memandangkan kuarantin dan isolasi kes positif dapat membantu menghindarkan wabak daripada terus agresif.

Setakat ini setiap subjenis virus masih mengalami proses mutasi.

Covid-19 jenis B yang hanya terhad kepada orang Asia Timur boleh mengalami mutasi di masa akan datang dan menjangkiti mereka yang berasal dari Eropah.

Masih banyak lagi yang kita tidak tahu berkenaan dengan Covid-19.

Namun, kajian yang bakal dijalankan akan membantu sedikit sebanyak untuk kita lebih memahami dan mencegah penularan Covid-19.

Kajian terbaru menunjukkan 3 subjenis berbeza bagi Covid-19.

Analisis yang dibuat melalui algoritma matematik dapat membantu saintis untuk lebih memahami dan meramal kawasan hotspot yang seharusnya diberikan perhatian.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.