
Pengarahnya, Christina Rundi berkata kluster itu dikenal pasti selepas siasatan selama 2 minggu.
Katanya, kluster di HWKKS menyebabkan kes di Kota Kinabalu meningkat kepada 42 orang dan ibu negeri Sabah itu diisytiharkan sebagai zon merah ke-2 selepas Tawau.
Sabah merekodkan 288 kes positif Covid-19 setakat semalam dengan kes paling banyak dicatatkan di Tawau, iaitu 79 kes.
“Daripada siasatan kami, sumber jangkitan itu datang daripada luar hospital dan membabitkan kontak di tempat kerja.
“Kemungkinan besar jangkitan itu berlaku di luar wad kerana ada juga kes positif dalam kalangan mereka yang tinggal di bawah satu bumbung,” katanya dalam taklimat harian malam tadi.
Beliau berkata, tiada jangkitan silang ditemui membabitkan pesakit kerana semua petugas kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri ketika bertugas.
Daripada 42 kes di Kota Kinabalu, 24 kes dikaitkan dengan kluster tabligh, manakala 11 lagi membabitkan petugas kesihatan.
Lapan daripada 11 petugas kesihatan itu bekerja di HWKKS.
Rundi berkata, pihak berkuasa kesihatan negeri sudah mengambil langkah membendung penularan virus di hospital.
Ia termasuk saringan kesihatan bagi semua petugasnya, keluarga dan kontak sosial mereka.
Kakitangan hospital turut diminta menjalani kuarantin, sama ada di rumah atau tempat yang disediakan jabatan itu.
“Kami menggesa orang ramai tidak bimbang dengan keadaan itu kerana kami sentiasa cuba memastikan virus itu tidak tersebar di kemudahan kesihatan kami.”