Tiada lagi alasan, polis Sabah beritahu pengingkar PKP

Tiada lagi alasan, polis Sabah beritahu pengingkar PKP

Polis berkata, terdapat individu memberi alasan keluar untuk membeli barangan keperluan atau pergi ke bank walaupun mereka berada di luar radius 10km.

Pemeriksaan polis menyebabkan kesesakan jalan raya di Jalan Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.
KOTA KINABALU:
Polis berkata, ia tidak lagi akan menerima apa-apa daripada individu yang ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3 pelaksanaannya semalam.

Ketua polis bandar raya, Habibi Majinji berkata, beliau mengarahkan anggotanya menjalankan pemeriksaan lebih ketat di sekatan jalan raya di ibu negeri dan kawasan sekitarnya bagi memastikan hanya individu yang mempunyai sebab sah berada di jalan raya.

Beliau berkata, ini merupakan sebab kenapa beberapa kawasan mengalami kesesakan lalu lintas.

Katanya, walaupun kira-kira 98% penduduk Kota Kinabalu mematuhi PKP, namun “masih ada individu yang berbohong kepada kita”.

“Jadi jika mereka tidak mempunyai alasan sah, kami akan tahan mereka untuk siasatan.”

Habibi berkata, terdapat individu yang ditahan memberi alasan keluar untuk membeli barangan keperluan atau pergi ke bank walaupun mereka berada di luar radius 10km.

Terdapat 1 kes seorang pengawal keselamatan yang mengemukakan surat daripada majikannya, tetapi polis mendapati lelaki itu hanya dikehendaki bekerja pada sebelah malam sedangkan dia ditahan di luar pada masa siang hari.

Habibi berkata, polis menahan 52 individu semalam, angka tangkapan tertinggi dalam sehari sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini 104 kes.

“Sebelum ini kita hanya beri amaran, tetapi ada orang yang tidak mahu dengar,” katanya.

Klip video dan gambar kesesakan jalan raya di negeri ini banyak dikongsikan di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.