
Dalam satu kenyataan, Sapura berkata, Nadma akan mengagihkan set PPE itu kepada pekerja kesihatan dan petugas barisan hadapan di lapangan.

Ketua pegawai operasi Kumpulan Sapura Mohd Zarif Hashim menyampaikan sumbangan set PPE itu kepada ketua pengarah Nadma Mohtar Mohd Abd Rahman di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya hari ini.
“Kakitangan kesihatan merupakan wira kita dan mereka merupakan benteng utama dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
“Kami adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia dan kerana itu Sapura bertekad untuk sama-sama melindungi rakyat daripada jangkitan wabak Covid-19,” kata Zarif dalam satu kenyataan.
Terdahulu hari ini Zarif juga menyampaikan sumbangan 1,500 set PPE kepada pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hanafiah Harunarashid.
Dana sumbangan set PPE itu datang sebahagiannya daripada Dana Covid-19 DanaSapura, yang diusahakan oleh kakitangan Kumpulan Sapura, Sapura Energy dan Yayasan Siti Sapura Husin.
Dana itu membolehkan kakitangannya mengumpulkan sumbangan bagi membantu individu yang menerima kesan wabak Covid-19.
Sebahagian besar dana tersebut digunakan untuk membeli barangan makanan dan sumbangan kewangan kepada keluarga kurang bernasib baik. Inisiatif tersebut akan dikembangkan keseluruh dunia di mana Sapura beroperasi.
Bantuan terbaru daripada Sapura ini adalah lanjutan sumbangannya kepada tabung Covid-19 kerajaan dan The Edge yang menyaksikan ketua pegawai eksekutif syarikat itu Shahril Shamsuddin menyampaikan cek bernilai RM1 juta kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Sumbangan RM1 juta juga diberikan kepada tabung Covid-19 The Edge.