
Rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari. Itulah pepatah yang sesuai bagi mereka yang secara tiba-tiba mendapat durian runtuh, rezeki melimpah ruah.
Sesiapa sahaja yang menerima tawaran sehingga RM35 juta untuk meletakkan iklan dalam laman sesawang miliknya, pasti menganggap ini antara kejayaan yang sangat membanggakan.
Namun bagi Avi Schiffmann mempunyai pendapat yang berbeza.
Remaja ini menolak tawaran pengiklanan yang ditawarkan dengan jumlah bayaran sehingga RM35 juta itu.
Kisah ini menarik perhatian ramai pihak apabila remaja berumur 17 tahun ini antara individu yang terawal menghasilkan laman sesawang yang memaparkan statistik Covid-19 secara langsung.
Pada mulanya, laman sesawang ini dibangunkan hanya sekadar untuk membantu masyarakat mengetahui perkembangan terkini tentang jangkitan wabak itu.
Hasil mempertaruhkan kemahiran yang dimilikinya untuk membina sebuah laman sesawang akhirnya membuahkan hasil.
Remaja ini berjaya mengumpul pengikut yang ramai pada minggu pertama laman sesawang ini dilancarkan.
Remaja ini juga memilih untuk tidak hadir ke sekolah kerana ingin memberi fokus kepada projek laman sesawangnya ini.

Dan akhirnya seramai 350 juta pengikut laman sesawang nCOV2019 berjaya dikumpul sejak 3 bulan pelancarannya bermula Disember 2019.
Jumlah pengikut yang luar biasa di laman sesawang tersebut menarik minat syarikat pengiklanan untuk melamar Avi Schiffmann dengan harga RM35 juta.
Harga ini ialah harga iklan yang perlu disertakan di dalam laman sesawang.
Bagaimanapun, tawaran itu ditolak kerana niat asal pembinaan laman ini untuk membantu orang ramai mengetahui jumlah pesakit positif Covid-19 secara “live”.
Malah remaja ini berpendapat tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menerima tawaran terhadap laman sesawang yang diciptanya.
Oleh itu, remaja ini memilih untuk memastikan laman sesawang yang dilawati orang ramai ini bebas daripada sebarang iklan.
Tindakan Avi Schiffmann ini membuatkan ramai pihak memujinya kerana tidak meletakkan keuntungan ketika ingin membantu orang lain.
Bantuan yang disalurkan oleh remaja ini meskipun tanpa bantuan wang dan tenaga, ternyata sangat bermakna dengan menyampaikan informasi terkini kepada semua orang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]