
Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR, Ginie Lim berkata, tindakan menghantar surat tunjuk sebab kepada naib presiden Tian Chua juga memperlihatkan parti tersebut semakin menyimpang jauh daripada prinsip terasnya, iaitu keadilan.
“Mereka bertiga adalah dalam kalangan kira-kira 500 nama yang digantung jawatan atau dipecat keanggotaan oleh PKR sejak 1 April lalu.
“PKR mengambil kesempatan menjalankan pemecatan dan penggantungan besar-besaran dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) hanyalah bertujuan untuk mengelakkan protes atau bantahan daripada anggota parti,” katanya kepada FMT.

Semalam, PKR menggantung keahlian Haniza kerana menghadiri pertemuan dengan bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin di sebuah hotel di Damansara pada 24 Februari lalu.
Haniza mengesahkan beliau menerima surat penggantungan keahliannya pada 13 April lalu.
Surat yang dikeluarkan pengerusi Lembaga Disiplin PKR itu, memaklumkan penggantungan tersebut berkuat kuasa 6 April lalu.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim mengesahkan Tian Chua turut diberi surat tunjuk sebab oleh parti itu.
Dalam pada itu, Ginie berkata, langkah pemecatan dan penggantungan ini jelas dibuat terburu-buru selepas mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) secara dalam talian pada 21 Mac.
Bagaimanapun katanya, dalam mesyuarat tersebut tiada nama dibentangkan untuk MPP menentukan sebarang hukuman seperti memecat atau menggantung keanggotaan atau melucut atau menggantung jawatan mengikut Perkara (d) Fasal 9 perlembagaan parti.
“Maka sejauh manakah pelucutan keanggotaan itu mematuhi Fasal 9 perlembagaan parti?
“Apakah kes membabitkan aduan diterima oleh Lembaga Displin disiasat dan dikemukakan cadangan keputusan untuk MPP menentukan hukuman?
“Apakah mesyuarat tergempar MPP pada 21 Mac memberi kuasa kepada setiausaha agung untuk menentukan sebarang hukuman bagi kes membabitkan aduan anggota parti,” katanya.
Ginie berkata, persoalan masa ini bukan berkenaan hayat politik Tian Chua, Haniza Talha mahupun See Chee How, ataupun mereka yang mengisytihar keluar parti, tetapi persepsi umum terhadap parti yang mengamalkan budaya pilih kasih dan pendakwaan berpilih terhadap mereka yang berani menyuarakan pandangan berbeza.
Katanya, presiden PKR, Anwar Ibrahim sendiri pernah menjadi mangsa pendakwaan berpilih dan konspirasi politik.
“PKR ditubuhkan untuk melawan ketidakadilan bagi mengembalikan keadilan pada tempatnya yang betul.
“Maka, amat mendukacitakan apabila parti menghakimi anggota parti disebabkan perbezaan pandangan dan tindakan yang dianggap menjejaskan kepentingan parti.
“Hukuman atas sebab jenayah fikiran (thought crime) dan pencegahan awal (pre-emptive) akan terus menghakis semangat demokrasi dan progresif parti,” katanya.
Sementara itu, ketua Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur PKR, Idawatie Pariman berkata, keputusan Lembaga Disiplin PKR menggantung Haniza pada masa ini adalah tidak wajar.
Katanya, alasannya ialah kerana berjumpa dengan bekas pimpinan yang tidak dinyatakan secara khusus tarikh dan waktunya.
“Surat juga dihantar sejam sebelum mesyuarat biro politik.
“Saya amat gusar keputusan ini memberi kesan buruk kepada parti terutama sekali Wanita,” katanya.
Idawatie berkata, Haniza adalah orang yang banyak menabur bakti kepada parti, terutamanya kepada pembangunan dan kebajikan wanita.
“Saya sebagai seorang yang pernah bekerja dengannya dan melihat sendiri jerih payah beliau amat menghargai jasa yang telah disumbangkan kepada parti.
“Oleh itu saya berdiri teguh di belakang Haniza dan menyokong beliau. Saya amat berharap biro disiplin mempertimbangkan keputusan yang dibuat,” katanya.
Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria berkata, penggantungan Haniza ketika masyarakat sedang berusaha untuk menangani Covid-19 dilihat sebagai satu langkah yang terburu-buru dan mementingkan diri sendiri.
Katanya, ini seperti menunjukkan bahawa wanita tidak penting kepada PKR.
“Saya berasa sangat kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan ini.
“Seharusnya tumpuan sepenuhnya diberikan bagi memerangi Covid-19, tetapi lain pula halnya apabila pada saat ini ketua Wanita PKR pula digantung daripada menjalankan tugas atas nama parti,” katanya.