Kerajaan tidak benar semua bentuk bazar Ramadan

Kerajaan tidak benar semua bentuk bazar Ramadan

Semua bentuk bazar Ramadan, sama ada ‘pandu lalu’ atau ‘tempah dan ambil’, tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
PUTRAJAYA:
Kerajaan tidak akan membenarkan semua bentuk bazar Ramadan, sama ada “pandu lalu” atau “tempah dan ambil” seperti yang dicadangkan sebelum ini sebagai alternatif bagi bulan puasa akan datang.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan keputusan itu dalam sidang media harian beliau berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Katanya, larangan itu termasuklah perniagaan e-bazar yang melibatkan gerai bazar Ramadan di mana pembeli perlu ke tapak jualan untuk mengambil makanan.

“Mesyuarat hari ini juga memutuskan bahawa sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazaar atau gerai Ramadan, termasuk dalam bentuk pandu lalu dan tempah dan ambil tidak dibenarkan sama sekali.

“Jadi tidak ada isu lagi berkaitan bazar atau E-iftar walaupun ia tidak dibuka seperti biasa. Operasi gerai, termasuk tempah dan ambil di gerai juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat menteri-menteri, termasuk pihak berkepentingan dalam mendepani wabak Covid-19.

Ismail bagaimanapun berkata, aktiviti pembelian atas talian melalui penghantaran makanan rumah ke rumah dibenarkan.

“Perniagaan atas talian seperti sekarang di mana perkhidmatan dihantar rumah ke rumah diteruskan dan dibenarkan seperti biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.