191 anggota tabligh warga Malaysia dikuarantin di India

191 anggota tabligh warga Malaysia dikuarantin di India

Kerajaan India menahan sebahagian anggota jemaah tabligh kerana sebilangan mereka dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan visa.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaafar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghulurkan bantuan consular, termasuk memberikan pek penjagaan diri kepada sebahagian anggota jemaah tabligh warga Malaysia yang sedang dikuarantin di negara itu. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar Negeri menerusi Wisma Putra memaklumkan 191 anggota jemaah tabligh warga Malaysia sedang dikuarantin di India.

Timbalan Menterinya, Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan India masih belum memberikan makluman rasmi berhubung status kebanyakan rakyat Malaysia lain yang sedang dikuarantin, iaitu maklumat mengenai tempoh masa kuarantin dan tindakan susulan yang boleh diambil selepas mereka selesai menjalani proses kuarantin.

“Wisma Putra menerusi perwakilan Malaysia di India sentiasa memantau rapat isu jemaah tabligh yang sedang dikuarantin di hospital atau pusat kuarantin khas di beberapa wilayah di India.

“Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghulurkan bantuan konsular termasuk memberikan pek penjagaan diri kepada sebahagian jemaah tabligh warga Malaysia yang sedang dikuarantin,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 yang disiarkan di Facebook.

Kamarudin berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sentiasa berhubung dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India dan pihak berkuasa tempatan di negara itu, khususnya dalam menyelaras usaha menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia di India, terutama mereka yang sedang dikuarantin.

Ketika ini, India masih melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara sehingga 3 Mei ini untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Kamarudin berkata, Wisma Putra dimaklumkan mengenai tindakan pihak berkuasa India yang menahan sebahagian anggota jemaah tabligh warga Malaysia ekoran tindakan mereka yang dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan visa.

Katanya, buat masa ini, Wisma Putra dalam proses mengenal pasti masalah dan mendapatkan cerita sebenar di sebalik isu ini khususnya daripada kerajaan India.

“Kita ambil berat dan akan pastikan mereka yang ditahan dalam keadaan baik.

“Saya harap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini apatah lagi mengaitkannya dengan isu keagamaan,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan itu bukan sahaja akan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat, tetapi boleh merumitkan rundingan yang sedang diusahakan Wisma Putra dengan kerajaan India.

“Dalam konteks penyalahgunaan visa, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melaporkan 17 rakyat Malaysia ditahan di bawah sekurang-kurangnya 3 akta berikut:

  • 8.1 National Disaster Management Act 2005;
  • 8.2 Foreigners Act 1946; dan
  • 8.3 Indian Penal Code

Kamarudin berkata, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara agar sentiasa patuh kepada undang-undang di negara yang dikunjungi.

Beliau berkata, setakat hari ini, kerajaan berjaya membawa pulang seramai 2,873 rakyat yang terkandas di India menggunakan 21 penerbangan.

“Sekali lagi saya tegaskan, Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang seramai mungkin rakyat Malaysia yang terkandas di India tanpa mengambil kira bangsa dan agama.

“Wisma Putra sentiasa memberi perkhidmatan terbaik tanpa diskriminasi kepada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata sehingga hari ini, Kementerian Luar Negeri melalui perwakilan Malaysia di luar negara berjaya membantu seramai 9,761 rakyat Malaysia yang terkandas di 63 negara pulang ke tanah air.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.