
Presiden Persatuan Spa Malaysia, Jeanette Tambakau berkata, industri itu antara yang paling terkesan kerana sebahagian besar perniagaan berkembang melalui sentuhan langsung dengan manusia.
“Sebarang rawatan dengan sentuhan langsung terpaksa dikurangkan ketika ini. Kita perlu memfokuskan rawatan yang tidak memerlukan sentuhan langsung.
“Tetapi, ini mungkin meningkatkan penggunaan rangkaian rawatan atau mesin baru dan inovatif,” katanya kepada FMT.
Tambakau ialah pengasas bersama Jari-jari, spa dan akademik latihan yang pernah memenangi anugerah.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran berkata, orang ramai perlu terus mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan tangan dan pernafasan baik selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.
Beliau berkata, pertarungan menentang Covid-19 tidak selesai sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan pandemik itu sudah berakhir.
“WHO turut memberi amaran supaya tidak menarik sekatan pergerakan terlalu awal.”
Tambakau berharap pelanggan akan mengubah sikap buat seketika kerana kesedaran terhadap jangkitan virus berada di tahap tertinggi.
“Saya tidak nampak ramai pelanggan akan kembali sehingga rakyat yakin mereka tidak akan dijangkiti virus itu.
“Penjarakan sosial akan menjadi normal baru dan terus diamalkan untuk 6 bulan hingga setahun lagi, atau lebih lama.
“Pelanggan kami akan lebih fokus kepada kesejahteraan yang menumpukan nutrisi, kecergasan dan perubahan gaya hidup untuk meningkatkan sistem imun mereka.
“Kelangsungan hidup kami sekarang sangat bergantung kepada kemampuan mentafsir semula perniagaan dan kepantasan untuk mengubah diri.”
Katanya, kebanyakan pemilik spa dalam perancangan menstruktur semula model perniagaan mereka.
“Mereka sedang menangani cabaran sosial dan mental yang dibawakan krisis itu kepada pekerja, pelanggan dan rakan perniagaan kami.”
Penjarakan sosial turut menjadi cabaran kepada pengusaha restoran. Walaupun mereka hanya menerima pesanan bawa pulang, sukar untuk mengekalkan jarak antara pekerja di dapur.
Brandon Young, baru-baru ini membuka restoran Mexico, berkata beliau mendapati sukar untuk menerima normal baru, tetapi perlu mengubah suai operasinya.
Beliau terpaksa mencari jalan kerana perniagaannya, yang baru ditubuhkan, tidak memenuhi syarat yang melayakkannya mendapat sebarang bantuan kewangan kerajaan.
“Kemungkinan besar kebanyakan orang tidak akan makan di luar untuk suatu tempoh. Oleh itu, pilihan bawa pulang kami akan ditambah. Kami juga akan mempunyai perkhidmatan penghantaran sendiri.”

Mary Jim, yang bekerja dengan komuniti etnik untuk menghasilkan aksesori buatan tempatan, berdepan prospek mengecilkan operasinya yang membabitkan 28 pekerja di pejabat dan kira-kira 100 lagi di perkampungan seluruh Sabah.
Katanya, beliau keberatan untuk memberhentikan pekerja, tetapi mungkin tidak dapat mengelakkannya bagi memastikan kelangsungan operasi dan mematuhi standard industri.
“Sebagai majikan, saya menyedari kepentingan untuk kekal selamat dan sihat dengan menggunakan peralatan diperlukan semasa PKP.
“Tetapi, untuk memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung, syarikat kami akan mempertimbang untuk membenarkan pekerja dan masyarakat bekerja pada waktu fleksibel dan bagi mengelakkan perhimpunan sosial.
“Kami akan mengkaji mekanisme bagaimana ia dapat dilaksanakan segera setelah PKP berakhir.”
Beliau berkata, syarikatnya mungkin terpaksa mengekalkan kakitangan penting dan meminta yang lain bercuti tanpa gaji.
“Syarikat kecil kami tidak mampu membayar gaji penuh kepada mereka.
“Jika ada peluang, kami akan mempertimbangkan bekerjasama dengan yang lain.”