Mahu melancong… Tunggu sehingga 2023 baru betul selamat untuk percutian

Mahu melancong… Tunggu sehingga 2023 baru betul selamat untuk percutian

Selepas 24 bulan iaitu pada 2023, dijangkakan trafik pengembara dan pelancong akan berada pada tahap normal seperti sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Beberapa pesawat milik Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malindo Air dan AirAsia berada di landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

Memang tak dapat dinafikan antara salah satu industri yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 iaitu industri pelancongan.

Jika lapangan terbang merupakan antara salah satu tempat paling sibuk di mana setiap saat ia dipenuhi dengan orang ramai, namun kini ia lengang.

Dan bahang ini dirasakan secara langsung oleh syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Risikonya sangat nyata apabila sesetengah agensi mungkin tidak dapat bertahan akibat penutupan lapangan terbang dan polisi kemasukan ke kebanyakan negara.

Ia secara tidak langsung menghalang semua orang untuk melancong ke luar negara dan pelancong-pelancong luar negara juga berhadapan dengan kawalan yang ketat.

Persoalannya, sampai bilakah situasi ini akan berterusan dan bilakah kita boleh mula bercuti semula?

Apa yang agak membimbangkan sehingga kini vaksin Covid-19 masih belum ditemui malah menurut WHO 3 vaksin kini sedang diuji ke atas manusia.

Namun, menurut pakar pelancongan global iaitu Atmosphere Research Group (ARG), garis masa pemulihan ini akan berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh 2 tahun selepas Covid-19 diisytiharkan sebagai “terkawal”.

ARG masih tidak pasti apa yang akan menyebabkan proses pemulihan ini bermula, sama ada jika jangkitan dan lengkungan Covid-19 menjadi mendatar, ataupun kita berjaya menghasilkan vaksin yang boleh didapati di mana-mana.

Bagaimanapun, ARG setuju dengan para peramal dan eksekutif industri lain di mana pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur dan bermula dengan perjalanan domestik.

Syarikat penerbangan kemungkinan akan membina semula rangkaian mereka, terutamanya di peringkat antarabangsa iaitu bermula dengan laluan utama tetapi dengan tumpuan strategik ke atas kapasiti yang akan memihak kepada pesawat yang lebih kecil dan lebih cekap seperti Airbus A350 dan Boeing 787 berbanding pesawat dua tingkat Airbus A380.

Anggaran tempoh pemulihan

Jadi, persoalannya bagaimana proses pemulihan ini akan berlaku untuk beberapa tahun akan datang dan siapa yang diramalkan bakal menjadi penumpang yang akan memenuhi pesawat-pesawat?

Dalam kes ini, kita menggangap pandemik Covid-19 secara umumnya mungkin akan diisytiharkan sebagai terkawal menjelang penghujung tahun 2020.

6 hingga 9 bulan

Untuk tempoh 6 hingga 9 bulan pertama selepas Covid-19 reda, ARG meramalkan bahawa kumpulan yang dilabelkan sebagai “tiptoe traveller” yang pertama mula meneroka semula dunia.

Walaupun kumpulan ini juga akan disertai oleh mereka yang berjalan atas urusan perniagaan, namun dijangkakan ia lebih melibatkan perjalanan peribadi dan juga percutian.

ARG mencadangkan kumpulan pertama yang akan melakukan perjalanan melalui penerbangan mereka yang “lebih berpendidikan” dan terdiri daripada kumpulan berpendapatan tinggi.

Mereka ini boleh dirujuk sebagai “cabin fever escapees” (gelisah sebab terperuk).

Kumpulan ini akan lebih tertumpu kepada perjalanan domestik tetapi juga diramalkan terlibat dalam perjalanan antarabangsa jarak jauh.

Rakyat Malaysia yang bertugas di Thailand dibawa pulang dengan menaiki pesawat khas Malaysia Airlines namun mereka perlu jalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. (Gambar Bernama)

8 hingga 16 bulan

Sepanjang 8 hingga 16 bulan selepas Covid-19 berjaya dijinakkan iaitu melalui fasa pertengahan tahun 2022, ARG meramalkan akan berlaku satu gelombang yang digelarkan sebagai “perintis”.

Kumpulan ini akan dipimpin oleh mereka yang melakukan perjalanan perniagaan bersama-sama penumpang kerap (frequent flyer) peringkat pertengahan serta atasan dengan pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke atas.

Kumpulan ini diramalkan bakal membuat perjalanan antarabangsa berjarak sederhana.

12 hingga 18 bulan

Dari 12 hingga 18 bulan, mereka ini akan disertai oleh “fast followers” di mana industri penerbangan bakal memperlihatkan jumlah pengembara perniagaan yang hampir kembali normal bersama-sama dengan tempahan kabin premium untuk kelas perniagaan dan pertama yang semakin meningkat.

Menjelang penghujung tahun 2022, sebahagian besar daripada industri ini akan kembali seperti biasa, atau sekurang-kurangnya hampir sama seperti dahulu sebelum Covid-19 melanda.

16 hingga 24 bulan, dan seterusnya

16 hingga 24 bulan selepas Covid-19 dianggap berjaya dikawal di seluruh dunia (iaitu pada penghujung tahun 2022, jika Covid-19 berjaya dikawal menjelang penghujung 2020), barulah para pelancong dengan tujuan percutian akan membanjiri lapangan terbang di seluruh dunia di mana industri ini mencapai 80% hingga 90% jumlah pelancong daripada sebelum virus melanda.

Selepas 24 bulan iaitu pada tahun 2023, ARG menjangkakan trafik pengembara dan pelancong akan berada pada tahap yang sama atau lebih daripada sebelum pandemik ini bermula.

Melihatkan pada tahap keseriusan pandemik Covid-19 di Malaysia dan juga di luar negara, industri penerbangan dan pelancongan akan terus terkesan sehinggalah virus ini dapat dikekang.

Namun begitu, ia tidak akan kembali pulih seperti biasa dengan serta-merta sebaliknya berlaku dengan perlahan dan berperingkat.

Hal ini disebabkan oleh kekangan kewangan dan juga usaha oleh syarikat-syarikat penerbangan untuk kembali bangkit selepas tersungkur.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.