AS pulangkan RM1.3 bilion dana 1MDB kepada Malaysia

AS pulangkan RM1.3 bilion dana 1MDB kepada Malaysia

DoJ sudah membantu Malaysia mendapatkan lebih AS$1 bilion dana dan aset yang hilang dalam skandal rasuah 1MDB.

WASHINGTON:
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyerahkan AS$300 juta (RM1.3 bilion) dana yang diseleweng melalui sistem kewangan global dalam skandal rasuah 1MDB kepada Putrajaya.

Bersama dana lain yang diserahkan hampir setahun lalu, DoJ berkata, ia kini sudah memulangkan atau membantu Malaysia mendapatkan lebih AS$1 bilion dana dan aset yang hilang dalam skandal itu.

“Pemulangan dana yang dicuri ini kepada warganegara Malaysia ialah hasil usaha gigih pendakwa dan ejen persekutuan bagi menghalang kleptokrat asing serta sekutu mereka mempergunakan AS sebagai tempat untuk mereka dapat menikmati hasil kekayaan yang dicuri mereka,” kata Peguam AS, Nick Hanna dalam satu kenyataan.

“Jumlah wang yang dicuri daripada rakyat Malaysia sangat mengejutkan dan kami berusaha tanpa henti untuk mendapatkan kembali aset yang sepatutnya digunakan demi kepentingan mereka.”

Wang itu sebahagian daripada lebih $4.5 bilion yang menurut penyiasat AS dicuri daripada 1MDB dengan bantuan didakwa daripada bekas perdana menteri, Najib Razak dan golongan dalamannya.

AS berkata, dari 2009 hingga 2015, pegawai tinggi 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menyeleweng berbilion dolar yang akan digunakan untuk membiayai pelaburan negara.

Jho Low didakwa menggunakan sebahagian besar wang itu untuk membeli rumah mewah, karya seni dan melabur dalam pembikinan filem Hollywood, termasuk “Wolf of Wall Street” arahan Martin Scorsese.

DoJ merampas kebanyakan aset Jho Low dan menukarkannya kepada tunai secara perlahan-lahan untuk mengembalikannya kepada Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.