
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata korban terbaru itu merupakan pemandu bas wanita berusia 52 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan mengalami jantung membesar, dijangkiti virus itu daripada seorang pesakit yang disahkan.
Setakat ini, beliau berkata Thailand mencatatkan 2,613 kes di 68 wilayah dan 1,405 pesakit sudah pulih dan pulang ke rumah.
“Kumpulan berumur 30 hingga 39 tahun merupakan kes terbesar — 623 kes daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini,” katanya semasa taklimat harian COVID-19, hari ini.
“Bangkok melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 1,311 kes diikuti Phuket (186), Nonthaburi (150), Samut Prakan (107) dan Yala (90).
Sementara itu, Thaweesilp menafikan dakwaan tidak banyak kes dilaporkan di negara ini kerana ujian makmal yang rendah.
“Dari Februari hingga 3 April, kami menguji 84,008 sampel. Dari 4 hingga 10 April, terdapat 16,490 sampel. Sejumlah 100,498 sampel diuji untuk Covid-19 setakat ini. Pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan lagi ujian Covid-19 di negara ini,” katanya.
Setakat semalam, jumlah keseluruhan makmal yang diperakui untuk ujian COVID-19 ialah 93, termasuk 43 makmal (21 kerajaan dan 22 swasta) di Bangkok dan kawasan perbandaran, selain daripada 50 makmal di wilayah lain (44 kerajaan dan 6 hospital/makmal swasta).
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Thailand berkata 102 petugas kesihatan dijangkiti virus itu atau 4% daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini.
“Buat masa ini, kira-kira 50% daripada jangkitan ini berkaitan dengan pesakit yang tidak mendedahkan sejarah kemungkinan mereka terdedah kepada Covid-19.
Bagi melindungi petugas dan sistem penjagaan kesihatan, adalah penting setiap orang mematuhi langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata kenyataan itu.