Pemimpin Asean komited bersama tangani krisis Covid-19

Pemimpin Asean komited bersama tangani krisis Covid-19

Pemimpin Asean setuju tubuhkan dana bersama, bekalan perubatan untuk tangani keperluan mendesak negara anggota semasa pandemik.

Persidangan video pemimpin Asean yang menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean mengenai Covid-19 secara atas talian. (Gambar AP)
HANOI:
Pemimpin Asia Tenggara bersetuju pada sidang kemuncak persidangan video pertama mereka hari ini untuk bersama memerangi “krisis kesihatan awam paling serius” dalam 100 tahun bagi memastikan rantau itu kembali selamat.

Kes Covid-19 di negara Asean sejak sebulan lalu meningkat lebih 20,000 berbanding 840 sebelum itu. Angka kematian meningkat kepada 866 daripada 14 orang, tetapi disebabkan ujian yang terhad di beberapa negara, pakar perubatan mengesyaki jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

“Covid-19 adalah krisis kesihatan awam paling serius … pada abad ini. Adalah penting bagi kita dan Asean bersatu memberikan respons kerana negara kita saling berhubung dan bergantung antara satu sama lain,” kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada persidangan itu.

“Tidak seorang pun daripada kita dalam Asean akan benar-benar selamat melainkan seluruh rantau ini selamat,” kata Lee.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, bersetuju negara anggota harus “meningkatkan kerjasama” untuk memerangi Covid-19 di rantau terbabit dan memastikan rantaian bekalan serantau tetap terbuka, lapor penyiar rasmi Vietnam, VTV.

Covid-19 adalah penyakit yang disebabkan oleh novel koronavirus yang pertama kali muncul di Wuhan, China, pada penghujung tahun lepas.

Jumlah keseluruhan jangkitan di negara Asean melonjak dengan Singapura melaporkan 386 kes jangkitan baru semalam, sementara Filipina melaporkan 291 kes hari ini.

Indonesia pula melaporkan hampir 400 kematian, jumlah tertinggi di Asia selepas China, mencetuskan kebimbangan mengenai krisis yang semakin meningkat di beberapa bahagian di rantau ini.

Phuc berkata kadar di mana jumlah serantau semakin meningkat, bagaimanapun, masih perlahan berbanding purata global.

Untuk menangani keperluan mendesak negara anggota semasa pandemik, pemimpin Asean bersetuju menubuhkan dana bersama dan bekalan perubatan, lapor VTV, tanpa memberikan butiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.